Oleh : Ng Yap Hwa & Saharuddin Adnan
Hubungan Buruh-Majikan pada zaman pertengahan di Eropah
Persoalan seterusnya, apakah asal usul kesatuan sekerja? Kenapa ia tiba-tiba muncul dalam pentas sejarah di Eropah Barat?
Pada zaman pertengahan Eropah, di mana aktiviti ekonomi diaturkan oleh sistem feudal, hubungan antara majikan dan buruh ditentukan oleh persatuan kraf (craft guild).
Persatuan kraf terdiri daripada majikan yang memiliki perusahaan sendiri (master) dan tukang mahir yang bekerja dengan majikan (journeyman). Fungsi persatuan kraf seolah-olahnya satu badan profesional yang mengawal kualiti produk kraf dan mengambil tindakan terhadap tukang yang menipu dan menghasilkan produk yang kurang berkualiti.
Apakah contoh persatuan kraf? Tukang emas, tukang baju, tukang gunting, tukang roti, tukang kayu, tukang paip, tukang tenun, pekerja suratkhabar, tukang jam dan lain-lain.
Untuk memastikan perusahaan kraf diteruskan, majikan perlu mengambil perantis untuk memberi latihan. Biasanya seorang perantis ambil masa 7 tahun untuk belajar kraf tersebut tanpa bayaran. Selepas mereka mendapat status pekerja mahir baru dapat gaji daripada majikan.
Evolusi hubungan buruh dan kemunculan kesatuan sekerja
Selepas beratus-ratus tahun, tukang-tukang mahir pula menubuhkan kelab tukang mahir sendiri sebagai badan insurans bersama . Kelab tersebut lebih dikenali sebagai persatuan persahabatan (friendly society).
Mereka akan mengutip yuran bulanan daripada ahli-ahli kelab, jika seseorang ahli atau keluarganya menemui kesulitan seperti kematian atau kurang sihat, sumbangan ahli kepada kelab boleh digunakan untuk membantu ahli tersebut.
Secara perlahan-lahan, persatuan persahabatan mula menggunakan persatuan tersebut berunding dengan majikan untuk mendapat gaji yang lebih tinggi, kadang-kala dana persatuan digunakan sebagai dana mogok untuk menyokong ahli-ahli yang menuntut syarat pekerjaan yang lebih baik.
Dana tersebut juga digunakan untuk mempertahankan ahlinya apabila mereka didakwa di mahkamah, kerana pemerintah British menganggap kumpulan pekerja yang mengambil tindakan perusahaan adalah haram.
Menurut ahli sejarah Henry Peling, kumpulan tukang mahir pertama yang berperanan sebagai kesatuan sekerja ialah tukang tekstil mahir di Britain. Pada tahun 1696, dua belas orang tukang tekstil mahir berunding dengan majikan supaya tidak mengurangkan gaji mereka.
Selepas menerima aduan daripada majikan, Parlimen British meluluskan dua Akta Gabungan (Combination Acts) pada tahun 1799 dan 1800 untuk mengharamkan segala pertubuhan buruh yang bertujuan untuk meminta gaji lebih tinggi atau pengurangan waktu kerja. Sesiapa yang melanggar undang-undang tersebut boleh dipenjara selama 3 bulan.
Kelihatan pemerintah menutup pintu pekerja-pekerja menuntut gaji dan syarat pekerjaan yang lebih baik secara aman, tukang-tukang mahir membuat keadaan kecoh dengan melakukan protes, merosakkan mesin-mesin di bengkel dan menyertai gerakan piagam (chartist movement) untuk menuntut hak mengundi.
Kesatuan Sekerja Diiktirafkan
Dengan pergolakan sosio-ekonomi pada ketika ini, parlimen British menubuhkan satu jawatankuasa untuk mengkaji punca gerakan buruh semakin radikal. Jawatankuasa parlimen memahami pengharaman persatuan buruh tidak akan menghapuskan punca ketidakpuasan hati buruh.
Pada tahun 1824 jawatankuasa Parlimen membuat keputusan untuk membatalkan Akta Gabungan 1799-1800 dan membenarkan penubuhan persatuan buruh. Aktiviti keganasan persatuan dilarangkan.
Disebabkan aktiviti mogok segera meningkat selepas penggubalan Akta Gabungan 1824, kerajaan British menerima tekanan daripada golongan majikan, maka satu lagi Akta Gabungan Pekerja 1825 digubal.
Akta baru ini mengekalkan keputusan awal iaitu persatuan buruh boleh diwujudkan dan keganasan dilarang, tetapi tindakan mogok dihadkan dalam hal-hal berkaitan dengan gaji dan waktu kerja sahaja.
Menteri Dalam Negeri ketika itu, Robert Peel, walaupun cuba mengenakan sekatan-sekatan baru di Akta Gabungan 1825, menyetujukan bahawa :
“Orang…yang tiada aset kecuali kemahiran perburuhan dan kekuatan mereka, harus dibenarkan untuk bersidang bersama, jika mereka fikir sesuai, untuk tujuan menentukan apakah harga bagi mereka untuk menjual aset mereka”.
Ini merupakah pengaruh falsafah liberalisme dan utilitarianisme di kalangan ahli politik zaman tersebut yang cuba memperluaskan kebebasan individu, pada masa yang sama menganggap tenaga kerja adalah sesuatu “komoditi” yang boleh dijual seperti barang.
Pada masa yang sama, beberapa pertubuhan buruh telah mula menggunakan istilah “Union” (Kesatuan), misalnya Persatuan Kesatuan Pengangkut Kapal (Shipwrights Provident Union Society) dan Kesatuan Piawai Setia (Loyal Standard Union).
Oleh kerana itu tahun 1825 dianggap sebagai tahun kelahiran kesatuan sekerja yang disahkan oleh pihak pemerintah.
Beberapa perkembangan selepas 1825
Tujuan artikel ialah supaya kita memahami gerakan buruh sebenarnya mencipta sejarah sendiri, dari struktur persatuan kraf sehingga menubuhkan struktur kesatuan sekerja sendiri, dari haram sehingga diiktirafkan oleh pemerintah.
Proses perjuangan 120 tahun ini merupakan satu jangka masa yang panjang dan berterusan, buruh tidak bergantung dengan pemerintah atau majikan, mereka mencapai kejayaan dengan mengorbankan kebebasan, darah dan nyawa mereka. Inilah pengalaman penting yang harus kita membelajari.
Perkembangan gerakan buruh di British dan Eropah selepas 1825 akan diringkaskan seperti berikut :
- Selepas menerima tekanan berterusan dari pekerja tidak mahir, kesatuan sekerja akhirnya terbuka keahliannya kepada semua pekerja kolar biru, tidak terhad kepada tukang mahir sahaja
- Dengan kebangkitan ideologi komunisme, sosialisme dan syndicalisme, kesatuan sekerja di seluruh dunia memilih orientasi kesatuan sekerja berlainan. Sila rujuk ke bahagian lain untuk bacaan lanjutan
- Struktur menegak (vertical structure) kesatuan sekerja diwujudkan di Eropah mengikuti industri atau sektor. Struktur federasi dan konfederasi juga dibentuk di negara lain
- Perundingan perjanjian kolektif diinstitusikan dan dilindungi oleh undang-undang
- Beberapa gerakan buruh menubuhkan parti politik untuk melawan undang-undang tidak adil kepada kaum buruh dan melindungi kepentingan buruh. Contohnya Kongres Kesatuan Sekerja British (TUC) menubuhkan Parti Buruh, Swedish Trade Union Confederation (LO) menubuhkan Parti Sosial Demokratik (SDP)
- Semasa Perang Dunia 1 & 2, pemimpin kesatuan sekerja British dijemput menduduki kerusi kabinet dan jawatankuasa peperangan, iaitu titik permulaan mekanisme tripartit
- Perjuangan gerakan buruh berjaya mewujudkan waktu kerja 8 jam sehari, skim keselamtan sosial dan skin pencen.
- Penuhan Pertubuhan Buruh Antarabangsa, kesatuan-kesatuan sekerja global (global unions)