Batalkan Denda RM10,000 yang akan memiskinkan pekerja

Kenyataan Media Gabungan Reformasi Undang-Undang Perburuhan pada 16hb Mac 2021, Shah Alam

Gabungan Reformasi Undang-Undang Perburuhan (LLRC) menggesa kerajaan membatalkan peraturan baru yang akan mengenakan denda RM10,000 ke atas sesiapa yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Jumlah denda tersebut terlalu tinggi dan tidak munasabah. Sepuluh ribu adalah lebih kurang gaji minimum 8 hingga 9 bulan seorang pekerja. Jika pekerja dikenakan denda tersebut, dia akan hidup berhutang hingga hujung tahun 2021, tidak mampu menyediakan makanan untuk keluarga dan akan mengganggu pendidikan kanak-kanak. Ia akan memiskinkan pekerja.

Peraturan ini haruslah dikaji semula kerana denda ini akan meningkatkan jumlah keluarga yang dikategori sebagai keluarga miskin tegar, dan menggagalkan usaha kerajaan untuk membasmi kemiskinan.

Mana-mana orang mungkin melanggar SOP tersebut secara tidak sengaja, seperti menteri-menteri yang dilaporkan bahawa tidak melaksanakan penjarakan fizikal. Tetapi Menteri mampu membayar denda tersebut dengan separuh gajinya sahaja, ini amat berbeza dengan 8 hingga 9 bulan gaji minimum seorang pekerja biasa.

Dengan ini, LLRC menyeru kerajaan menarik balik peraturan kontroversi ini yang akan menambahkan jurang ketidaksamarataan pendapatan di Malaysia. Malah gaji minimum pekerja harus dinaikkan lagi untuk memastikan gaji hidup yang wajar (decent living wage).

N. Gopal Kishnam & Irene Xavier
Pengerusi Bersama
Gabungan Reformasi Undang-Undang Perburuhan