Oleh : Ng Yap Hwa & Saharuddin Adnan
Istilah Kesatuan Sekerja
Nama asal kesatuan dalam bahasa Inggeris ialah trade union. Meskipun perkataan “trade” lebih dikenali sebagai “perdagangan”, tetapi menurut kamus Oxford, “trade” juga bermakna “Sesuatu kerja, khasnya terlibat kerja dengan tangan dan memerlukan latihan dan kemahiran khas”.
Ini adalah kerana mula-mulanya kesatuan sekerja paling awal di Eropah barat khasnya British ditubuhkan oleh tukang kraf (craftsman) atau pekerja mahir (skilled workers).
Bagaimanapun, dalam konteks negara-negara Asia, labour union merupakan istilah Inggeris yang lebih sesuai digunakan, memandangkan ia dinamakan sebagai
Negara | Bahasa asal | Makna dalam Bahasa Inggeris |
Malaysia | Kesatuan sekerja | Trade union |
Indonesia | Serikat buruh/pekerja | Labour union |
Thailand | สหภาพแรงงาน | Labour union |
Vietnam | công đoàn | Labour organisation |
Japan | 労働組合 | Labour combination |
China | 工会 | Labour association |
Definisi Kesatuan Sekerja
Pertubuhan Buruh Antarabangsa (International Labour Organization – ILO) telah menakrifkan kesatuan sekerja seperti berikut :
“Kesatuan sekerja ditakrifkan sebagai pertubuhan pekerja yang dibentuk dengan tujuan memajukan dan mempertahankan kepentingan pekerja”
Manakala, ahli akademik British Sidney Webb dan Beatrice Webb, yang terkenal kerana menulis buku “Sejarah Kesatuan Sekerja British”, mentakrifkan kesatuan sekerja sebagai :
“Satu pertubuhan penerima gaji berterusan untuk tujuan mengekalkan atau menambahbaikkan keadaan pekerjaan mereka”
Dua jenis penakrifan di atas diterima secara luas, tetapi ia biasanya dirujuk sebagai “kesatuan tulen dan ringkas (pure and simple unionism) dalam dunia kesatuan sekerja. Dalam bahagian “orientasi kesatuan sekerja”, pelbagai orientasi kesatuan yang lebih kompleks akan diperkenalkan.
Di samping itu, Webb sebenarnya berpendapat kesatuan sekerja mempunyai peranan yang lebih penting, iaitu merupakan agensi untuk pendemokrasian industri secara beransur-ansur, dan mentransformasikan dari anarki pasaran dan kemutlakan kuasa majikan kepada kawalan sosial dan peraturan.
Jika berbanding dengan keadaan tempat kerja pada zaman pertengahan dengan abad ke-21, tempat kerja yang mempunyai kesatuan sekerja memang telah menjadi lebih demokratik.
Sebelumnya, majikan boleh membuat keputusan secara autokratik dan pekerja terpaksa mengikuti arahan tanpa saluran rasmi berkomunikasi. Sekarang, dalam erti kata majikan harus berunding atas meja dengan pekerja mengenai isu-isu seperti gaji, keadaan tempat kerja, kesihatan dan keselamatan dan pemberhentian kerja.
Proses membuat keputusan bukan lagi di atas tangan majikan sahaja, pihak majikan atau pengurusan harus sentiasa mendengar pandangan atau maklum balas kesatuan, menerima tuntuan tertentu untuk mengelakkan tindakan perusahaan. Ia adalah demokratik kerana kuasa mutlak majikan telah disemak dan dikurangkan.