Hak-Hak Pekerja

Oleh : Ng Yap Hwa

Dalam dunia kesatuan kerja, ada satu istilah yang amat susah memberi penakrifan, iaitu apa maksud “Hak-hak pekerja” (workers’ rights).

Oleh sebab populariti Deklarasi ILO terhadap Prinsip-Prinsip Asas dan Hak Pekerjaan[1] pada tahun 1998, kebanyakan orang menganggap hak pekerja bermakna hak-hak yang diiktiraf dalam 8 Konvensyen asas ILO.

Sebenarnya, definisi hak pekerja harus merujuk kepada Deklarasi Sejagat Hak Asassi Manusia (UDHR) dan 8 Konvensyen asas ILO.

Selepas perang dunia kedua, persidangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) meluluskan UDHR pada tahun 1948. UDHR telah diiktiraf secara luas di seluruh dunia sebagai undang-undang antarabangsa adat (customary international law) yang dihasilkan dari amalan-amalan komuniti antarabangsa.

30 artikel UDHR mewujudkan satu rangka hak asasi manusia dari sudut sivil, politik, ekonomi, sosial dan budaya yang berkeseluruhdan dan saling bergantung. Artikel 22 hingga 25 UDHR menerangkan apa itu hak pekerja.


Artikel 22 hingga 25 mengatakan, seorang pekerja mempunyai hak yang sangat luas, tidak terhad kepada 8 Konvensyen asas ILO yang hanya menjamin hak kebebasan berpersatuan, hak perundingan kolektif, kebebasan memilih pekerjaan (menghalang buruh paksa), hak tanpa diskriminasi.

Gambar di atas menunjukkan hubungan rangka hak asasi manusia UDHR dengan konvensyen asas ILO. Adalah penting menyatakan bahawa, hak pekerja merupakan satu bahagian daripada sistem hak asasi manusia.

Oleh sebab seorang pekerja juga seorang insan, selain daripada hak pekerja dia juga mempunyai hak-hak asasi manusia lain seperti hak kepada nyawa, hak kepada perbicaraan yang adil, hak memilih wakil rakyat, kebebasan bersuara, hak pendidikan, kebebasan beragama, hak kepada kehidupan berbudaya dan lain-lain.

Tetapi rangka hak asasi manusia UDHR mempunyai kelemahannya. Ia menekankan semua hak merupakan “hak individu” (individual rights), tiada “hak kolektif” (collective rights).

Walaupun artikel 29 mengatakan bahawa setiap orang mempunyai kewajipan terhadap komuniti, ia tidak mengiktiraf pekerja-pekerja berhak berunding secara kolektif. Maksudnya, rangka UDHR mengiktiraf “hak-hak pekerja” (a worker’s rights) wujud, tetapi tidak ada “hak sekumpulan pekerja” (workers’ rights).

Oleh itu, adalah penting kita merujuk kepada konvensyen-konvensyen ILO untuk melengkapkan maksud hak pekerja, khasnya Konvensyen 87 dan 98 ILO.

Konvensyen asas ILO sentiasa menggunakan istilah “pekerja-pekerja” (workers) berbanding dengan istilah rangka UDHR “setiap orang”. Ini bermakna ILO mengiktirafkan pekerja-pekerja mempunyai hak kolektif untuk menubuhkan kesatuan sekerja, berunding dengan majikan dan bermogok.

Carta aliran di atas menunjukkan, UDHR menetapkan dua hak individu iaitu hak menubuhkan kesatuan sekerja dan hak kepada upah yang adil dan baik. UDHR tidak menyatakan bagaimana seorang pekerja dapat mencapai hak kepada upah yang adil dan baik selepas menubuhkan kesatuan sekerja.

Itu sebab kita mesti mengaitkan kedua-dua rangka hak asasi manusia UDHR dan konvensyen-konvensyen asas ILO untuk memahami maksud hak-hak pekerja. Hak perundingan kolektif adalah sangat penting kerana ia merupakan jentera kesatuan sekerja untuk merealisasikan hak kepada upah yang adil dan baik.

Namun, bukan semua konvensyen ILO boleh dianggap hak pekerja. Ada banyak konvensyen ILO cuma menetapkan prosidur-prosidur untuk menjaga kepentingan atau kesihatan pekerja-pekerja.

Contohnya, kerajaan Malaysia telah meratifikasikan Konvenysen C81 berkenaan pemeriksaan buruh, Konvensyen C144 berkenaan perundingan tripartit, Konvensyen C119 berkenaan Penjagaan Mesin. Semua konvensyen ini lebih bersifat prosidur untuk menjamin pengurusan hal-ehwal buruh dengan lebih baik.

Secara ringkasnya, hak-hak pekerja merangkumi perkara-perkara berikut :

  • Hak memilih pekerjaan tanpa paksa
  • Hak tanpa diskriminasi, semua pekerja harus mendapat upah yang sama dengan kerja yang sama tanpa kira kaum, jantina dan latar belakang lain
  • Hak menubuhkan kesatuan sekerja
  • Hak perundingan kolektif
  • Hak kepada keadaan kerja yang adil dan baik
  • Hak kepada upah yang adil dan baik
  • Hak kepada keselamatan sosial termasuk perlindungan terhadap penggangguran, penyakit, kecatatan, usia tua.
  • Hak untuk berehat dan bersantai
  • Hak waktu kerja yang wajar dan cuti berkala dengan gaji
  • Hak kepada taraf hidup yang mencukupi termasuk makanan, pakaian, perumahan dan rawatan perubatan
  • Hak wanita untuk penjagaan khas seperti cuti bersalin
  • Hak kanak-kanak untuk penjagaan seperti waktu kerja yang lebih singkat dan tidak terlibat dalam kerja-kerja berat dan bahaya.

Bagaimanapun, kita mesti memahami rangka hak asasi manusia UDHR adalah adalah dokumen yang idealistik.

Hak-hak sivil seperti hak menubuhkan kesatuan sekerja dan hak tanpa diskriminasi lebih senang dilaksanakan oleh sesuatu kerajaan, kerana “hak negatif” tersebut tidak mewajibkan kerajaan memperuntukkan sumber kewangan untuk merealisasikannya. Sekiranya kerajaan tidak menyekat kebebasan berpersatuan pekerja-pekerja, dan menguatkuasakan undang-undang untuk menghalangkan diskriminasi terhadap kesatuan, kedua-dua hak ini boleh dilindungi dengan senang.

Sebaliknya, hak-hak ekonomi dan sosial seperti hak kepada taraf hidup yang mencukupi termasuk makanan, pakaian, perumahan dan rawatan perubatan memerlukan kerajaan memperuntukkan sumber-sumber kewangan dalam sistem kebajikan dan kesihatan.

Ini sangat bergantung kepada kapasiti sesebuah negara. Umumnya negara miskin yang kurang sumber kewangan memerlukan bantuan kewangan komuniti antarabangsa. Negara-negara kaya mempunyai kapasiti yang lebih tinggi untuk menjamin hak pekerja mendapat taraf hidup yang mencukupi. Oleh demikian, dokumen PBB sering menekankan kerjasama antarabangsa adalah penting untuk merealisasikan hak-hak asasi manusia.

Walaubagaimanapun, gerakan buruh harus sentiasa menggunakan hak-hak dinyatakan dalam UDHR dan konvensyen asas ILO sebagai prinsip-prinsip dalam perjuangan merealisasikan semua hak-hak pekerja, khususnya apabila ekonomi negara semakin berkembang dan kapasiti negara bertambah kuat.