Menangani Rungutan

Oleh : Ng Yap Hwa

Rungutan (Grievance) merupakan ketidakpuasan hati seseorang pekerja terhadap tindakan pengurusan di tempat kerja. Menangani rungutan adalah sebahagian tanggungjawab kesatuan sekerja yang telah disebutkan dalam topik “fungsi kesatuan sekerja” dan “peranan wakil kesatuan”. 

Sebelum menceritakan bagaimana menangani rungutan secara praktik, adalah penting memahami piawaian buruh antarabangsa mengenai prosedur rungutan.

ILO R130 Cadangan Siasatan Rungutan 

Pada tahun 1967, Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) telah menghasilkan R130 Cadangan Siasatan Rungutan. Cadangan-cadangan (Recommendations) ILO ialah salah satu jenis instrumen undang-undang buruh antarabangsa yang menghuraikan Konvensyen ILO, ia harus dibaca bersama-sama dengan konvensyen ILO.

Prinsip Cadangan Siasatan Rungutan ialah setiap pekerja atau sekumpulan pekerja berhak menyerahkan rungutan supaya disiasat mengikuti prosedur yang sesuai, sekiranya dia mempunyai alasan yang munasabah.

Rungutan mungkin disebabkan apa-apa langkah atau keadaan yang menjejaskan syarat-syarat kerja yang tidak mematuhi kontrak kerja pekerja-pekerja, perjanjian kolektif dengan kesatuan, peraturan tempat kerja, undang-undang atau peraturan-peraturan pemerintah.

Tuntutan kesatuan sekerja atau sekumpulan pekerja untuk mengubahkan terma-terma dan syarat-syarat kerja tidak dianggap satu rungutan.

Kesatuan dan majikan mempunyai hak dan tanggungjawab samarata

Menurut R130, jika perjanjian kolektif mengandungi prosedur siasatan rungutan, semua pihak harus menyatakan tempoh-tempoh sah untuk menyelesaikan rungutan, dan tidak melakukan sesuatu tindakan yang mungkin akan menghalang prosedur tersebut berfungsi dengan berkesan.

Kesatuan sekerja dan wakil kesatuan digalakkan bekerjasama dengan majikan atau pertubuhannya dengan hak dan tanggungjawab yang samarata dalam membentuk dan melaksanakan prosedur rungutan.

Prosedur tersebut lebih baik dalam bentuk perjanjian dan selaras dengan undang-undang negara. Bagaimanapun, ia tidak boleh menghalang pekerja daripada membuat aduan dengan jabatan tenaga kerja, mahkamah perusahaan atau mahkamah lain.

Tambahan pula, untuk meminimumkan jumlah rungutan, majikan harus membentuk dasar sumber manusia yang berfungsi dengan baik, menghormati hak dan kepentingan pekerja-pekerja. Majikan juga harus bekerjasama dengan wakil kesatuan sebelum membuat sesuatu keputusan yang akan mempengaruhi pekerja-pekerja dari aspek sosial.

Prosedur rungutan mesti mudah, cepat dengan tempoh tamat

Prosedur rungutan mesti mudah, cepat, tempoh tamat harus dinyatakan, prosedur permohonan rasmi harus minimum. Prosedur tersebut mesti dibentuk dan dilaksanakan supaya semua pihak ada kemungkinan mencapai penyelesaian yang disetujui oleh pekerja dan majikan secara bebas.

Apabila prosedur rungutan telah dibentuk, majikan harus memastikan pekerja-pekerja sedar kewujudan prosidur rungutan dan peraturan-peraturan berkenaan, dan prosedur tersebut boleh digunakan oleh mereka.

R130 mencadangkan, semua pihak harus cuba sedaya mungkin menyelesaikan rungutan di peringkat perusahaan mengikuti prosedur yang berkesan. Langkah pertama ialah cuba menyelesaikan rungutan di antara seorang pekerja dengan penyelia secara langsung.

Apabila cubaan penyelesaian tersebut gagal, ataupun perbincangan secara langsung adalah tidak sesuai, rungutan pekerja tersebut harus dipertimbangkan di satu atau lebih peringkat yang lebih tinggi, tetapi ia bergantung kepada sifat-sifat rungutan tersebut, struktur dan saiz perusahaan tersebut.

Seorang pekerja berhak mendapat bantuan atau perwakilan daripada kesatuan

Selain daripada itu, seorang pekerja berhak untuk menyertai secara terus dalam prosedur rungutan. Beliau boleh dibantu oleh seorang wakil kesatuan atau mana-mana orang yang beliau memilih dalam siasatan rungutannya mengikut undang-undang atau amalan di negaranya. Majikan juga berhak mendapat bantuan atau perwakilan daripada pertubuhan majikan.

Sekiranya seorang pekerja di perusahaan tersebut membantu atau mewakili pekerja yang terlibat dalam siasatan rungutan, beliau harus mendapatkan perlindungan.

Menurut R130, majikan tidak patut menolak gaji pekerja tersebut dan wakilnya yang melibatkan diri dalam proses rungutan. Minit prosedur rungutan harus dicatat dengan persetujuan dan disediakan kepada semua pihak. Pekerja yang menyerahkan rungutan harus dimaklumkan tentang setiap langkah dan tindakan yang menyusul selepas siasatan.

Apabila semua usaha untuk menyelesaikan rungutan di dalam perusahaan telah gagal, rungutan mungkin boleh ditangani seterusnya dengan beberapa langkah. Contohnya, prosedur khas yang dinyatakan dalam perjanjian kolektif, mediasi, pendamaian, mahkamah buruh, kehakiman atau yang lain-lain.

Menyelesaikan rungutan secara tidak rasmi

Sekarang, biar kita bincang apa harus dilakukan oleh seorang wakil kesatuan semasa menghadapi rungutan di tempat kerja.

Apabila seorang wakil kesatuan menerima satu aduan daripada ahlinya di tempat kerja, contohnya beliau terpaksa bekerja lebih masa, terpaksa bekerja dengan cara tidak selamat, tingkah laku penyelia yang tidak menghormati atau mendiskriminasi pekerja.

Wakil kesatuan harus cuba menyelesaikan rungutan tersebut secara tidak rasmi. Pertamanya, wakil kesatuan boleh membangkitkan isu tersebut dengan penyelia secara terus, membawa isu tersebut kepada pengurus sumber manusia. Jika tidak ada balasan positif, boleh membawa isu tersebut kepada pengurus am.

Selepas membawa isu tersebut kepada pihak pengurusan secara tidak rasmi, memberi mereka satu tempoh yang munasabah untuk memberi tindak balas. Jika tidak mendapat tindak balas selepas tempoh tersebut, saluran rasmi harus digunakan.

Mencatatkan rungutan secara terperinci

Sebelum memulakan prosedur rungutan, seorang wakil kesatuan harus mengumpulkan semua maklumat terhadap rungutan tersebut. Wakil kesatuan harus mengadakan satu temuramah dengan pekerja tersebut untuk mendapat maklumat berkenaan secara terperinci.

Tarikh, masa, tempat, nama penuh tertuduh dan pengadu mesti dicatatkan. Sila menerangkan bagaimana rungutan tersebut berlaku, perkataan dan bahasa badan yang digunakan oleh tertuduh, adakah beberapa orang pekerja terlibat? Adakah pekerja lain menyaksi kejadian tersebut? Adakah kejadian yang lebih kurang sama pernah dilakukan oleh tertuduh sebelum ini?

Kemudian, mengadakan mesyuarat dengan satu atau dua orang saksi untuk mengesahkan maklumat yang diberikan oleh pengadu tersebut. Jika perlu, mengadakan mesyuarat dengan pengadu dan saksi lain untuk mencatatkan fakta yang betul.

Mengumpulkan segala bukti yang sedia ada, misalnya surat atau email tertuduh, kertas pesanan kerja, gambar atau video.

Menyemak perjanjian kolektif dan dasar perusahaan

Selepas itu, wakil kesatuan harus menyemak prosedur rungutan dalam perjanjian kolektif yang ditandatangani oleh kesatuan dan majikan. Pada masa yang sama, mengumpulkan semua dasar-dasar perusahaan berkenaan dengan rungutan tersebut.

Wakil kesatuan harus juga mengkaji undang-undang dan peraturan-peraturan buruh yang berkenaan dengan rungutan tersebut. Jangan segan membuat panggilan telefon kepada Jabatan Tenaga Kerja, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Kerja atau mana-mana pihak berkuasa yang lain untuk mendapatkan penerangan lanjut.

Jangan lupa semua wakil kesatuan bekerja sebagai satu pasukan. Seorang wakil kesatuan harus membincangkan kes tersebut dengan ahli-ahli jawatankuasa tempat kerja lain untuk mendengar pendapat rakan sekerja anda. Mereka yang lebih dekat dengan pengadu dan tertuduh dapat memberi maklumat tambahan kepada kes tersebut. 

Memulakan prosedur rungutan

Selepas semua persiapan sudah lengkap, wakil kesatuan boleh memulakan prosedur rungutan dengan menulis sepucuk surat rasmi kepada pihak pengurusan. Jika surat tersebut harus dikeluarkan oleh ibu pejabat, hubungi ibu pejabat untuk mengeluarkan surat tersebut.

Surat tersebut harus meminta satu siasatan dilakukan terhadap rungutan tersebut mengikut seksyen tertentu dalam perjanjian kolektif. Pihak pengurusan diminta menjawab dalam tempoh tertentu, contohnya dua minggu.

Wakil kesatuan harus menyediakan dua salinan surat, memastikan wakil pihak pengurusan menandatangani surat salinan kesatuan dengan nama dan tarikh. Kemudian, wakil kesatuan boleh bertanya pihak pengurusan secara tidak rasmi tentang perkembangan kes tersebut.

Menghadiri mesyuarat siasatan

Sebelum menghadiri mesyuarat siasatan, wakil kesatuan harus mengadakan satu mesyuarat persediaan dengan pengadu, memberi nasihat bahawa fakta-fakta yang perlu dibentangkan. Perkara tertentu akan ditangani oleh wakil kesatuan. 

Semasa menghadiri mesyuarat siasatan, perbualan harus dijalankan dengan rasional dan saling hormat-menghormati. Wakil kesatuan harus menggunakan hujah-hujah untuk menyakinkan pihak pengurusan bahawa rungutan tersebut adalah sah, dan pihak pengurusan harus mengambil langkah-langkah untuk membetulkan keadaan tersebut. Pengadu harus mendapat keadilan menerusi prosedur rungutan.

Jikalau pihak pengurusan menggunakan perkara lain yang tidak ada kaitan dengan rungutan tersebut untuk menjustifikasikan hujah mereka, contohnya prestasi pengadu yang kurang memuaskan, wakil kesatuan harus meminta untuk kembali ke topik asal dan fokus kepada rungutan tersebut, kerana perkara lain tidak ada kaitan langsung dengan rungutan tersebut. Pihak pengurusan diminta membangkitkan perkara lain di mesyuarat lain.

Jikalau pihak pengurusan menekankan semua pekerja harus mematuhi dasar-dasar perusahaan, wakil kesatuan boleh kata beliau setuju dengan pihak pengurusan, “tetapi pihak perusahaan juga harus mematuhi undang-undang buruh yang mengatakan pekerja berhak….” Gunakan undang-undang atau peraturan-peraturan buruh untuk memperkuatkan hujah kesatuan sekerja.

Membuat catatan semasa siasatan berlangsung

Walaupun pihak pengurusan akan membuat catatan mesyuarat, adalah baik jika wakil kesatuan membuat catatan sendiri tentang perkara-perkara penting yang dibangkitkan oleh pihak pengurusan.

Ketika ditanya tentang perkara yang tidak pasti, jangan memberi jawapan yang tidak pasti. Jika perkara tersebut sangat penting, meminta mesyuarat ditangguh untuk mengesahkan perkara tersebut, selepas itu mesyuarat kedua boleh dijalankan dengan fakta-fakta yang lebih jitu.

Selepas siasatan selesai, wakil kesatuan boleh mengulangi perkara-perkara penting dalam mesyuarat tersebut dan tindakan yang disetujui oleh kedua-dua pihak. Wakil kesatuan boleh menyatakan bantahan tentang perkara yang tidak disetujui.