Mengiktiraf Kesatuan Pekerja Industri Kayu Sabah dan menghentikan amalan Pencurian Upah!

Kenyataan Media oleh Gabungan Reformasi Undang-Undang Perburuhan pada 21hb September 2020 di Shah Alam

Gabungan Reformasi Undang-Undang Buruh (LLRC), sebuah gabungan besar 58 Kesatuan Sekerja dan NGO, menyeru agar hak pekerja-pekerja perkayuan yang menyertai Kesatuan Pekerja Industri Kayu Sabah (KPPIPS) dan rundingan secara kolektif dengan majikan mereka dilindungi.

Hak mereka untuk berunding secara kolektif telah dinafikan sejak tahun 1991 kerana pertarungan undang-undang yang berpanjangan dalam tuntutan pengiktirafan ke atas Sabah Forest Industry. Penafian hak keatas KPPIPS untuk berunding berkenaan upah dan kebajikan pekerja sudah selama 29 tahun.

Cukup, cukuplah! Kami menggesa kepada para Yang Berhormat dan calon pilihanraya negeri Sabah membantu menyelesaikan nasib KPPIPS dengan menghentikan penghapusan kesatuan oleh Industri Perhutanan Sabah dan segera mengiktiraf kesatuan.

Selain itu, kami ingin menarik perhatian orang awam mengenai isu kecurian gaji di Syarikat Fu Yee di Tawau dan beberapa syarikat gabungan Persatuan Industri Perkayuan Sabah (STIA). Syarikat Fu Yee telah memaksa pekerja untuk menerima 50 peratus upah tanpa persetujuan pekerja, dan mengintimidasi anggota KPPIPS untuk memaksa mereka untuk menyertai kesatuan dalaman.

LLRC meminta komitmen daripada kesemua YB dan calon untuk menamatkan penghapusan kesatuan dan melindungi hak asasi ahli-ahli KPPIPS.

N. Gopal Kishnam & Irene Xavier
Pengerusi Bersama
Gabungan Reformasi Undang-Undang Buruh