[Laman web ini telah mendapat persetujuaan penerbit SIRD untuk menerbitkan sebahagian kandungan buku Abdullah C.D. berkenaan kesatuan buruh di sini]
Oleh : Abdullah C.D.
Kesatuan Buruh Melayu Selangor
Apabila kaum fasis Jepun menyerah diri dan penjajah British menguasai semula Malaya, penjajah British telah mengambil kesempatan menubuhkan kesatuan buruh Melayu dalam bentuk ‘kesatuan kuning’ untuk mengontrol gerakan buruh. Ketika PKMM (Parti Kebangsaan Melayu Malaya) berpindah ke Kuala Lumpur pada awal tahun 1946, penjajah British telah pun menubuhkan sebuah kesatuan buruh kuning di Selangor dan Kuala Lumpur dengan nama Kesatuan Buruh Melayu Selangor. Anggota-anggotanya pada asasnya terdiri dari kakitangan kerajaan bergaji rendah seperti peon, kerani, guru dan lain-lain. Orang penting dalam penubuhan kesatuan ini ialah Osman, Muslimin dan Haji Arshad. Sebuah akhbar berbahasa Inggeris masa itu mengiklankan secara besar-besaran kesatuan tersebut. Sungguhpun begitu, kawan-kawan dari PKMM dan PKM tidak memberikan sambutan kerana kesatuan ini didirikan oleh wakil penjajah dan dikendalikan mengikut kehendak kapitalis British.
Pada suatu hari, Hj. Arshad, orang penting kesatuan tersebut datang ke pejabat PKMM menemui Dr. Burhanuddin Al-Helmy, Ahmad Boestamam, saya dan lain-lain kawan di pejabat PKMM. Hj. Arshad berharap kami memberikan kerjasama dan sokongan kepada kesatuan buruh tersebut.
Pada suatu kesempatan, saya mengajak Hj. Arshad berbual-bual di kedai kopi. Dia memberitahu bahawa tidak lama lagi akan diadakan mesyuarat kesatuan buruh dan meminta saya bertindak sebagai wartawan akhbar Pelita pergi membuat liputan. Maka atas pelawaannya yang ikhlas itu saya memberikan kesanggupan.
Mesyuarat dilangsungkan pada awal tahun 1946. Saya hadir sebagai wartawan Pelita. Kira-kira seratus orang lebih menghadirinya. Osman menjadi pengerusi membuat ucapan. Kemudian pengerusi mempersilakan wakil dan pemerhati memberikan ucapan masing-masing. Kerana terdorong oleh suasana masa itu, saya juga ikut membuat ucapan. Agak panjang juga ucapan saya itu. Selain mengucapkan tahniah atas mesyuarat itu saya juga menjelaskan tentang gerakan buruh antarabangsa, peranan penting kesatuan buruh serta pentingnya perpaduan buruh pelbagai kaum.
Selesai ucapan daripada para wakil, diadakan juga pengundian untuk memilih pimpinannya yang baru. Mungkin kerana tertarik dengan ucapan saya tadi, Hj. Arshad datang menemui saya dan berkata bahawa saya patut dicalonkan menjadi pimpinan kesatuan. Dia meminta keterangan tentang diri saya untuk dicalonkan. Menghadapi keadaan yang tidak diduga itu, saya menjadi serba salah antara terima atau tidak. Kalau terima tertentangan dengan prinsip organisasi parti (PKM). Lebih-lebih lagi belum dibincangkan secara terperinci dengan kawan-kawan dari PKMM. Jikalau saya terima mungkin ada faedahnya juga, kerana PKMM ada rancangan mahu menyusun kesatuan buruh, tetapi belum terlaksana. Akhirnya saya terima pencalonan itu dalam keadaan antara terima dengan tidak. Kemudian nama-nama yang dicalonkan itu diundi secara sulit. Dari keputusan undi, saya terpilih menjadi Ketua Kesatuan Buruh, Osman sebagai Naib Ketua dan Muslimin sebagai setiausaha.
Esoknya surat khabar Inggeris menyiarkan berita itu secara besar-besaran. Masa itu tidak sesiapa pun tahun siapa Abdullah C.D. kemudian saya membuat laporan kepada Chen Nan akan peristiwa itu. Beliau bersetuju dengan tindakan saya itu. Chen Nan memberitahu bahawa pihak organisasi telah membuat rancangan menyusun kesatuan buruh Melayu, tetapi pekerjaannya belum berkesan.
Setelah itu barulah saya bermesyuarat dengan kawan-kawan PKMM dan mengambil keputusan untuk berusaha mengembangkan gerakan buruh itu secepat mungkin. Selepas itu, kami berturut-turut mendirikan kesatuan-kesatuan buruh Melayu di serata tempat.
Kesatuan Buruh Melayu Sentul
Di Sentul terdapat ribuan buruh terdiri daripada pelbagai kaum. Kalau tidak salah ingatan saya, buruh India berjumlah 2,000 orang, buruh Melayu 400 orang dan buruh Tionghua saya tidak pasti bilangannya.
Bersempena perayaan suatu hari raya, tidak lama setelah saya dipilih menjadi Ketua Kesatuan Buruh Melayu Selangor pada awal tahun 1946, saya pergi ke kawasan buruh di Sentul sebagai wartawan akhbar Pelita. Saya menemui penanggungjawab buruh, dan mengemukakan beberapa soalan tentang keadaan buruh di situ, iaitu tentang soal kehidupan, pendapatan, pekerjaan dan lain-lain. Selain daripada itu saya juga memberikan sedikit penerangan tentang kesatuan buruh dan mengapa perlu mendirikan kesatuan. Penanggungjawab buruh di situ nampak sungguh bersemangat mendengar penerangan saya. Dia memberitahu bahawa buruh-buruh di situ juga mahu mendirikan kesatuan. Tetapi kerana hari itu masa terlalu suntuk, saya janjikan pada hari jumaat untuk datang lagi ke situ bagi menbincangkan soal penubuhan kesatuan buruh secara terperinci dengan mereka.
Dalam perayaan penubuhan kesatuan buruh itu, ada seorang wakil membuat ucapan. Antara ucapannya yang terkesan dalam fikiran saya ialah dia menyatakan bahawa “ada organisasi orang Melayu bernama PKMM.” Akan tetapi, mengikutnya, “PKMM tidak baik kerana dia ada hubungan dengan komunis.” Daripada ucapan wakil itu saya membuat kesimpulan bahawa kaum buruh di situ sudah diracuni fikiran mereka oleh propaganda pro penjajah yang reaksioner. Sungguhpun begitu, mereka aktif dalam kesatuan buruh dan hubungannya dengan kami amat rapat.
Pada masa awal penubuhan kesatuan buruh itu kami elakkan daripada bercakap tentang hal-hal politik. Tetapi kemudiannya, kami beransur-ansur menerangkan kepada mereka tentang pentingnya kesatuan buruh dan perpaduan kaum buruh pelbagai kaum untuk melawan penindasan kapitalis British serta hubungan gerakan buruh Melayu dengan gerakan kemerdekaan. Akhirnya mereka menerima pandangan yang lebih luas dan terbuka, di samping menggalakkan persatuan buruh dari kaum-kaum lain menyertai General Labour Union (GLU).
GLU pada masa awalnya dianggotai oleh orang Tionghua sahaja. Kemudiannya ia dianggotai oleh orang India dan kini dianggotai oleh kesatuan buruh Melayu pula. Dari sini ia mula menjadi gerakan buruh pelbagai kaum.
Kesatuan Buruh di Kuala Kubu Bahru
Dalam masa yang sama juga saya pergi ke Kuala Kubu Bahru untuk menubuhkan kesatuan buruh. Di situ terdapat sejumlah buruh Melayu. Mereka belum ada kesatuan. Akan tetapi mereka juga sudah termakan propaganda yang pro penjajah dan menentang gerakan kemerdekaan khasnya PKM dan PKMM. Bahkan di situ terdapat kumpulan parang panjang untuk melakukan perang sabil terhadap orang Tionghua. Oleh itu saya dan Rashid Maidin mengambil keputusan untuk lebih berhati-hati dalam percakapan.
Apabila kami tiba di situ, kami memberikan penerangan tentang kesatuan buruh. Mereka menyambut penerangan kami dengan penuh bersemangat dan ingin segera menubuhkan kesatuan buruh. Akhirnya kami tubuhkan Kesatuan Buruh Kuala Kubu Bahru. Upacara menubuhkan kesatuan buruh ini diadakan serentak dengan upacara membuka masjid baru. Saya dengan Rashid Maidin hadir sama untuk penubuhan kesatuan buruh itu. Kaum buruh di situ mengadakan kenduri dengan menyembelih kambing. Melalui penerangan yang menyakinkan, akhirnya propaganda pro penjajah yang meresap dalam fikiran mereka dapat dikikis. Mereka teguh berdiri di belakang PKMM dan juga menyertai GLU.
Kongres Buruh Melayu Selangor
Setelah mendirikan beberapa kesatuan buruh seperti yang telah disebut di atas, saya kemudian mengadakan pertemuan dengan Osman. Dia gembira bukan kepalang kerana merasa ada jasa untuk dilaporkan kepada pihak atasannya. Pihak atasannya pula merasakan Osman telah menjalankan tugas dengan baik. Oleh itu atasannya memberikan peruntukan yang besar untuk menerbitkan akhbar pula.
Pada suatu hari Osman memberitahu saya bahawa dia telah menerima modal sebanyak $30,000 untuk menerbitkan akhbar yang ditetapkan namanya sebagai Harian Benar dan majalah Belia. Dia melantik saya sebagai Ketua pengarangnya. Osman pun mulai membuat persiapan bahan-bahan untuk menerbitkan majalah, seperti kertas dan lain-lain.
Osman sebenarnya diarahkan untuk mendirikan kesatuan buruh kuning bagi mengontrol perjuangan buruh. Akan tetapi setelah saya menjadi ketua kesatuan, saya dan beberapa kawan lain seperti Rashid Maidin dan Baharuddin Yussof telah menubuhkan beberapa lagi kesatuan buruh. Ini telah mengubah sifat kesatuan kuning menjadi kesatuan merah yang profesif. Semua ini di luar dugaan Osman.
Osman juga memberitahu saya akan mengadakan kongres buruh Melayu Selangor. Belanjanya telah disediakan oleh majikannya. Tempatnya ditetapkan di Dewan Bandaran Kuala Lumpur. Saya memilih tarikhnya pada 1 Mei, iaitu sempena hari pekerja antarabangsa.
Akan tetapi saya nampak ada komplot antara Osman dan pihak atasannya di sebalik kongres itu. Osman meminta saya melepaskan jawatan ketua kesatuan kepadanya. Sebagai balasanya, saya akan dilantik sebagai Penghubung Khas Buruh dengan gaji yang lumayan. Saya juga akan diberikan sebuah rumah mewah dan sebuah motosikal.
Daripada cadangan Osman ini, saya membuat kesimpulan bahawa penjajah British telah berusaha mengambil alih kepimpinan kesatuan agar berjalan mengikut kepentingan mereka. Memandangkan komplotan ini dirancangkan dengan pihak atasannya, maka saya bermain taktik dengan Osman. Saya tidak menyatakan sama ada setuju atau tidak di hadapan Osman, tetapi membincangkan hal itu dengan kawan-kawaan PKMM seperti dengan Dr. Burhanuddin Al-Helmy, Ahmad Boestamam, Baharuddin Yusof dan Musa Ahmad. Kami berpendapat bahawa penjajah British sedang cuba mengambil alih kepimpinan kesatuan buruh, maka rancangan itu harus digagalkan.
Untuk bacaan lanjutan sila merujuk kepada buku Memoir Abdullah C.D. : Zaman Pergerakan Sehingga 1948 (Bahagian Pertama) dengan klik sini.