
SEJARAH RINGKAS KESATUAN
Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Perusahaan Membuat Tekstil, Pakaian, Fibre, Kulit dan Plastik Semenanjung Malaysia (NUTGLFP) yang telah didaftarkan dengan nama baru pada 29hb April 2025. Dahulunya dikenali sebagai Kesatuan Pekerja-Pekerja Perusahaan Tekstil Pulau Pinang Dan Seberang Prai (PTGWU) yang beribu pejabat di Pulau Pinang yang telah didaftarkan pada 04 Mei 1973 di bawah Akta Kesatuan Sekerja 1959.
Pada permulaannya, kesatuan terdiri daripada 13 buah kilang yang bergabung dan mempunyai keahlian melebihi 10,000 orang pada ketika itu. Akibat daripada perubahan sosial ekonomi dan kemelesetan ekonomi serta penurunan permintaan global secara tidak langsung menyebabkan impak penutupan operasi di beberapa kilang di bawah naungan kesatuan pada masa itu. Sehingga kini, NUTGLFP mempunyai lebih kurang 1500 orang ahli daripada 3 buah kilang yang di Pulau Pinang dan Sebuah Kilang Perak.
Salah satu asas utama penubuhan Kesatuan ini adalah untuk menjaga hak dan kebajikan pekerja sejajar dengan Akta Kerja 1955 serta memastikan ianya dipatuhi dan dihormati. Selain daripada itu, tujuan kesatuan ini juga adalah memperoleh dan mengekalkan bagi ahli ahlinya sukatan gaji yang adil dan sesuai, keselamatan bekerja serta masa dan syarat bekerja yang berpatutan dan juga memberi nasihat tentang hal-hal yang bersangkutan dengan perundangan pekerjaan.
Perjanjian Kolektif (CA) pertama telah ditandatangani pada Tahun 1978, sehingga kini terdapat sebanyak 2 buah Perjanjian Kolektif yang telah ditandatangani dengan 2 buah syarikat antarabangsa iaitu Penfabric Sdn Berhad dan Penfibre Sdn Berhad.
PENCAPAIAN
Bagi merealisasikan hak dan kebajikan pekerja terjaga, NUTGLFP melalui perjanjian bersama telah mengadakan rundingan setiap 3 tahun sekali dengan pihak majikan terbabit bagi mengkaji serta menambah baik faedah-faedah pekerja seperti yang termaktub dalam perjanjian bersama tersebut. Salah satu pencapaian kesatuan adalah berkaitan dengan pematuhan sepenuhnya pindaan baharu 2022 Akta Kerja 1955 yakni melalui penerapan dalam perjanjian bersama.
NUTGLFP juga menawarkan satu skim insuran untuk ahlinya yang dikenali sebagai insuran berkelompok dengan menawarkan kadar bayaran premium yang paling rendah dan berpatutan dengan perlindungan faedah kemasukan hospital kemalangan, penyakit dan kematian. Semua ahli kesatuan juga mendapat faedah dari pihak Kesatuan, seperti faedah Kebakaran rumah, banjir, Kecemerlangan anak, Kematian, Kemasukan hospital, hilang pekerjaan (semasa menjalan kerja kerja kesatuan), cendera hati pencen / tamat kontrak (pekerja asing).
Dari segi penglibatan luar, NUTGLFP telah berjaya mendapat pengiktirafan anugerah Kesatuan Contoh Wilayah Utara (Pulau Pinang,Kedah & Perlis) oleh Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja Malaysia pada tahun 2022 serta penganugerahan Geran Pembangunan Kesatuan Sekerja (GPKS) Zon Utara bermula dari tahun 2021 sehingga kini.
Dari segi Latihan di luar negara pulak melalui Exco Wanita yang ditubuhkan 2 orang Majlis Executive telah dihantar ke Japan & Jakarta bagi memghadiri persidangan berkaitan cabaran wanita dalam kesatuan yakni pada bulan June 2024 & Dec 2025. Seorang ahli biasa kami juga telah dihantar Ke Japan pada tahun lepas (2025) bagi menghadiri konvensyen berkaitan belia (pemimpin muda).
Selain daripada itu, NUTGLFP juga telah menganjurkan beberapa seminar pendidikan kepada ahli bagi memperkembangkan pengetahuan dan pengalaman sejajar dengan inspirasi untuk mewujudkan tenaga kerja yang lebih inovatif dan berdaya saing. Dalam konteks rekreasi pula NUTGLFP telah beberapa kali menganjurkan lawatan sambil belajar di beberapa buah kawasan tarikan pelancong di Malaysia, sukan, jamuan makan malam bagi mengeratkan hubungan antara kesatuan dan ahli ahlinya.
CABARAN SEMASA
Memandangkan kos sara hidup yang semakin meningkat secara mendadak kebelakangan ini, kenaikan gaji yang tidak seiring menjadi satu cabaran kepada kesatuan terutamanya dalam setiap perundingan yang diadakan. Selain daripada itu,rungutan dan luahan hati dari pihak ahli juga menjurus kepada keadaan ini. Jika dilihat daripada Produk Domestik Kasar (GDP) yang sangat baik tetapi jurang kaya dan miskin terlalu besar. Golongan kategori atasan menikmati manfaat dan hasil, walaubagaimanapun pekerja masih merintih kerana pengagihan kekayaan tidak adil dan tidak sekata.
Selain daripada itu, cabaran lain yang dihadapi adalah berkaitan dengan mencari pelapis muda bagi meneruskan kesinambungan Kesatuan di masa hadapan. Generasi muda pada ketika ini kurang berminat untuk berkecimpung dalam dunia sosial Kesatuan. Walaupun pelbagai program diatur yang melibatkan golongan muda ini, namun peratusan yang berminat adalah begitu rendah sekali berbanding dengan jumlah ahli muda berdaftar yang direkodkan. Jika perkara ini tidak ditangani segera berkemungkinan akan mengakibatkan runtuhnya struktur kesatuan dimasa akan datang.
Selain itu cabaran untuk organising kilang kilang yang ada di dalam semenanjung malaysia, ia memerlukan kos kewangan, tenaga kerja untuk menjalankan tugasan organising. Namun dengan cabaran yang ada, kami akan tetap laksanakan misi yang penting ini. Kekuatan dan semangat kami adalah dari sokongan rakan rakan kesatuan yang lain,mereka banyak membantu memberikan tunjuk ajar,idea untuk perlaksanaan tugasan organising.
Cabaran yang utama adalah kemasukan pekerja asing. Mereka ini tidak berminat untuk menyertai kesatuan. Mereka lebih suka bekerja dan menghantar wang ke negara mereka.Tetapi kesatuan tetap melakukan tugasan organising pekerja asing, di dalam keahlian kesatuan ada juga pekerja asing yang menyertai ahli kesatuan, mereka juga menerima faedah / layanan seperti ahli ahli kesatuan yang lain.

STRUKTUR KESATUAN
Presiden : Saudara Abdul Wahid Bin Mohd Fauzi
Naib Presiden: Saudara Sahidan Bin Sheriff
Setiausaha Agung : Saudara Mohd Amirruddin Bin Abd Hamid
Penolong Setiausaha Agung : Saudara Mohamad Saiful Rizal Bin Hashim
Bendahari : Saudari Siti Nursuraya Binti Ali
Exco:
Saudara Shamshulnizam Bin Ahmad
Saudara Ali Bin Osman
Saudara Rosman Bin Khalid
Saudari Nor Wahida Binti Shaeden
HUBUNGI KAMI
Bagi mana-mana sektor yang melibatkan Textile,Fibre,Kulit & Plastik yang ingin bergabung dibawah NUTGLFP adalah di alu-alukan untuk berbuat demikian. Bulat Air kerana Pembentung, Bulat Manusia kerana Muafakat.
Bagi yang berminat menyertai kami bolehlah menghubungi pegawai-pegawai kami atau menghubungi kami di alamat dan nombor di bawah.
Alamat : No.23 Lorong Talang Satu,Taman Perai 13600 Perai,Pulau Pinang
Telefon: 604 – 3905887/ 016 4541902
Email: ptwupenang@yahoo.com
Facebook : https://www.facebook.com/penangtextile.ptwu
