Oleh : Ng Yap Hwa & Saharuddin Adnan
Dalam sejarah kesatuan selama 300 tahun, kesatuan sekerja telah mempunyai perkembangan berbeza di setiap negara, ciri-ciri atau karakter kesatuan dan pendekatannya juga tidak sama.
Ahli-ahli akademik telah menghasilkan berbagai-bagai teori untuk menerangkan fenomena kesatuan sekerja. Dalam buku ini, kerangka teori ahli akademik Richard Hyman akan digunakan untuk menerangkan pendekatan kesatuan sekerja.
Menurut Hyman, tiga pendekatan kesatuan sekerja telah wujud di dalam sejarah kesatuan sekerja di Eropah, iaitu :
- Kesatuan perniagaan (business unionism)
- Kesatuan demokratik sosial (social-democratic unionism)
- Kesatuan anti-kapitalis (anti-capitalist unionism)
Pendekatan kesatuan sekerja menentukan hubungan kesatuan sekerja dengan pasar, masyarakat dan kelas, seperti yang ditunjukkan dalam gambar 2.
Dalam bab ini, tiga jenis struktur kesatuan sekerja juga akan diperkenalkan, iaitu kesatuan industri (industrial union), kesatuan umum (general union) dan kesatuan syarikat (enterprise union).
Gambar 2 : Hubungan pendekatan kesatuan sekerja dengan pasaran, masyarakat dan kelas.
Kesatuan perniagaan
Nama kesatuan perniagaan (business unionism) agak pelik, tetapi ia merujuk kepada kesatuan tulen dan ringkas (pure and simple unionism) yang diadvokasi oleh Persekutuan Buruh Amerika Syarikat dan Kongres Persatuan Industri (AFL-CIO), dalam tahap tertentu kesatuan sekerja British juga mempunyai karakter yang serupa.
Menurut salah seorang pengasas kepada AFL-CIO Adolph Strasser :
“Kami tidak mempunyai matlamat terakhir. Kami akan meneruskan dari satu hari ke hari lain. Kami hanya melawan untuk objek serta-merta”.
Pendek kata, kesatuan perniagaan menumpukan tenaga untuk faedah ekonomi langsung kepada anggotanya. Ia menekankan kepada perundingan bersama secara bebas (free collective bargaining) antara kesatuan sekerja dan majikan.
Pimpinan kesatuan yang mengamalkan pendekatan ini tidak gemar campur tangan pemerintah dalam menentukan gaji dan syarat-syarat kerja, mereka tidak bersetuju dengan dasar gaji minima, disebabkan mereka mempercayai kesatuan boleh mendapat gaji yang lebih tinggi melalui perundingan atau tindakan perusahaan.
Pendekatan ini juga tidak minat untuk terlibat dalam politik. Mereka membatasi aktiviti-aktiviti kesatuan dalam bidang ekonomi sahaja. Ia menganggap kesatuan sekerja mesti berfungsi sebagai pelaku ekonomi (economic actor) dalam pasaran buruh.
Dengan membekal atau menarik balik tenaga kerja, kesatuan dapat mengawalkan pasaran dan mengatasi masalah ketidakseimbangan kuasa antara majikan dan pekerja-pekerja.
Kesatuan sekerja British berbeza dengan AFL-CIO dari segi keterlibatan dalam politik. Pada hujung abad ke-19, Kongres Kesatuan Sekerja British (British Trade Union Congress) telah menghantarkan beberapa anggota kesatuan untuk bertanding atas tiket Parti Liberal, seterusnya menubuhkan Parti Buruh untuk menghapuskan undang-undang buruh yang mengancam kepentingan kesatuan sekerja.
Kesatuan Demokratik Sosial
Bagi kesatuan demokratik sosial (Social-democratic unionism), sempadan di antara ekonomi dan politik adalah kabur. Walaupun pendekatan ini juga melakukan perundingan bersama dengan majikan, ia mempercayai pemerintah mesti memainkan peranan untuk melindungi hak-hak pekerja.
Maka, kerja-kerja advokasi untuk mempengaruhi proses pembentukan undang-undang atau dasar-dasar pemerintah adalah kebiasaan dalam kesatuan jenis ini. Di negara Sweden, Konfederasi Kesatuan Sekerja Sweden (LO) sering dijemput untuk menduduki dalam jawatankuasa untuk meneliti rang undang-undang baru sebelum ia dihantar ke parlimen untuk dibahaskan.
LO juga menubuhkan Parti Demoratik Sosial (SAP), parti politik terbesar di Sweden dan memerintah Sweden lebih daripada 50 tahun sejak 1932. Demikian dasar-dasar pro-pekerja seperti membenarkan kesatuan menguruskan dana pengangguran telah diadakan. Ini membantu kesatuan Sweden menambah keahlian kerana memberi perkhidmatan bagus kepada ahlinya.
Sejak awal, kesatuan demokratik sosial dipengaruhi oleh ideologi dan revolusi sosialis di Eropah. Selepas Perang Dunia kedua, kesatuan sekerja Jerman mengetengahkan supaya menyusun semula ekonomi dan masyarakat, mengubah pemilikan sosial (sosial ownership) dalam industri asas.
Kemudian, konsep-konsep seperti pasar sosial (social market), susunan sosial (social order) dan rakan kongsi sosial (social partners) telah digunakan oleh pemimpin politik dan kesatuan sekerja Jerman.
Secara ringkasnya, ini bermakna majikan dan pekerja merupakan sebahagian daripada komuniti, sepatutnya membentuk satu gabungan produktiviti (productivity coalition) untuk menambahkan kebajikan komuniti dan mewujudkan ketenteraman masyarakat.
Dengan idea-idea sosial dan komuniti tersebut, sistem penentuan bersama (co-determination) dilaksanakan di syarikat besar di Jerman, dimana pekerja dapat dilantik sebagai pengarah buruh (labour director) atau ahli lembaga penyelian (supervisory board) melalui majlis kerja (work council).
Tidak dapat dinafikan, ciri-ciri kesatuan demokratik sosial di Eropah pula dipengaruhi oleh kesatuan sekerja Kristian, ia mengusulkan industri diwujudkan bukan untuk tujuan keuntungan, tetapi untuk kehendak sosial. Jadi, kesatuan sekerja dianggap sebagai pertubuhan yang mendorong kepada integrasi sosial.
Kesatuan Anti-Kapitalis
Dua jenis kesatuan sekerja dikategorikan dalam pendekatan ini – Kesatuan sekerja Syndicalisme revolusioner (syndicalisme révolutionnaire) dan komunisme.
Perkataan Syndicalisme berasal daripada bahasa Perancis Syndicat, maksudnya ialah kesatuan sekerja. Perkataan Perancis ini digunakan kerana pendekatan ini menjadi popular di negera Perancis pada awal abad ke-20. Namun, ia juga disebarkan ke Itali, Sepanyol dan Amerika Latin.
Syndicalisme berpandangan bahawa setiap kesatuan mempunyai autonomi di tempat kerja dan harus menggunakan tindakan langsung (direct action) untuk emansipasi proletariat dan menghapuskan susunan kapitalistik.
Pengikut Syndicalisme tidak percayai kepada parti politik kerana ahli politik akan mengkhianati pekerja, mereka menyeru pekerja jangan membazirkan tenaga dalam proses parlimen dan mahu menghapuskan negara sekaligus. Oleh sebab sifat-sifat yang menyerupai anarki, Syndicalisme juga dinamakan Anarki-Syndicalisme.
Kesatuan sekerja komunisme mempercayai perjuangan kolektif dapat meningkatkan kesedaran kelas dan menguatkan semangat bertentangan dengan kapitalis.
Oleh itu, mogok dan tindakan perusahaan lain adalah aktiviti-aktiviti yang sangat penting bagi kesatuan sekerja yang mendukung ideologi komunisme.
Pendekatan ini menolak idea perundingan kolektif secara langsung, kerana perjanjian kolektif akan mengehadkan tindakan perusahaan kesatuan. Ia memandangkan birokrat kesatuan sekerja bukan komunis akan berkompromi dengan majikan dan pemerintah dan mengkhianati kepentingan pekerja biasa.
Kedua-dua jenis kesatuan anti-kapitalis ini menekankan kepentingan tindakan perusahan dan mogok, tetapi syndicalisme mahu menghapuskan negara untuk membebaskan proletariat, komunisme berhasrat merampas kuasa negara dan melaksanakan program-program yang pro-proletariat.