Peranan Kesatuan Sekerja

Oleh : Ng Yap Hwa & Saharuddin Adnan

Kesatuan sekerja memainkan berbagai-bagai peranan dalam masyarakat kita. Secara keseluruhannya, komuniti kesatuan sekerja mengatakan bahawa kesatuan memberi satu suara kepada pekerja, menggunakan pengaruhnya untuk berunding dengan majikan untuk melindungi hak atau menambahbaikkan faedah pekerja.

Dalam Manual ILO untuk kesatuan sekerja Indonesia dalam pentadbiran, terbitan tersebut merangkumi 5 peranan utama kesatuan sekerja :

  1. Peranan perwakilan
  2. Peranan pendidikan
  3. Peranan perkhidmatan
  4. Peranan pengawalseliaan
  5. Peranan politik

Peranan perwakilan

Kesatuan sekerja mewakili ahlinya dalam perunding kolektif untuk gaji dan faedah lebih baik, waktu kerja dan cuti, syarat pekerjaan lebih baik, tempat kerja yang selamat dan sihat.

Jika pekerja menemui sesuatu masalah di tempat kerja, pegawai kesatuan boleh mewakili pekerja tersebut dalam prosidur rungutan (grievance procedure). Contohnya ialah pelanggaran kontrak kerja oleh majikan, isu keselamatan, gangguan seksual atau diskriminasi.

Dalam kes pemecatan tidak adil, pegawai kesatuan juga boleh mewakili pekerja dalam pertikaian perusahaan.

Menurut Len McCluskey, setiausaha agung Unite the Union iaitu kesatuan sekerja paling besar di British, kesatuan juga menggunakan suara kolektifnya untuk berunding dengan majikan, contohnya membuat penyelidikan tentang keadaan kewangan syarikat, menggunakan dana mogok untuk menyokong ahlinya dalam perjuangan untuk menuntut faedah dalam perjanjian kolektif.

Bagi beliau, mendukung perjuangan ahlinya adalah penting kerana :

          “Ahli-ahli merupakan pusat kehidupan demokratik kesatuan sekerja, saya atau setiausaha agung lain tidak patut mengecam atau menolak perjuangan ahli-ahli yang sedang menjalankan”

Ini bermakna peranan perwakilan membawa maksud kedua, iaitu kesatuan sebagai pertubuhan demokratik harus sentiasa mengikut kehendak ahlinya asalkan perjuangan tersebut selari dengan objektif kesatuan.

Peranan Pendidikan

Sesebuah kesatuan sekerja tidak dapat berfungsi dengan baik kalau cuma setiausaha agung atau pimpinan pusat pandai cerdik dalam segala pengetahuan – perundingan kolektif, undang-undang buruh, urusan pertikaian perusahaan dan dasar-dasar sosio-ekonomi.

Lebih ramai ahli menerima pendidikan kesatuan, lebih kuat kesatuan tersebut kerana ahli-ahli yang mempunyai kesedaran dan pengetahuan dapat membantu kesatuan menjalankan tugasnya, umpamanya dalam kerja menyusun pekerja dalam kesatuan, menyertai perundingan perjanjian kolektif dan meminta mesyuarat konsultasi dengan pihak pengurusan.

Oleh sebab kesatuan mempunyai sumber kewangan yang terhad dan hanya boleh mengupah beberapa orang staf untuk menangani urusan teras, latihan-latihan yang diberikan akan rekrut sukarelawan dari kalangan ahli seramai mungkin. Sudah tentu ahli jawatankuasa tempat kerja (worksite committee members) harus diberi keutamaan dalam latihan-latihan kerana tugas mereka lebih berat.

Di Asia Tenggara, kesatuan sekerja menyediakan latihan-latihan seperti asas kesatuan sekerja, menyusun pekerja, perundingan kolektif, kempen advokasi, undang-undang buruh, keselamatan dan kesihatan, kepimpinan kesatuan, menangani rungutan, hak pekerja, sejarah kesatuan, pendidikan politik dan lain-lain.

Peranan Perkhidmatan

Secara amnya, kesatuan memberi khidmat nasihat kepada ahlinya tentang isu-isu buruh dan perhubungan perusahaan, termasuk nasihat berkaitan dengan undang-undang buruh.

Biasanya sebuah kesatuan mempunyai hubungan dengan peguam undang-undang buruh, kesatuan sekerja sedunia, persatuan komuniti atau agama, pertubuhan bukan kerajaan dan parti politik. Hubungan ini kadang-kala dapat menghulur bantuan kepada perjuangan buruh.

Oleh sebab salah satu fungsi kesatuan sekerja dalam sejarah adalah memain peranan pertubuhan saling membantu, kesatuan juga memberi perkhidmatan seperti koperasi runcit, pinjaman kredit, khidmat insurans dan lain-lain.

Misalnya, Kongres Kesatuan Sekerja Singapura (NTUC) menubuhkan sebuah pasar raya daftar sebagai koperasi “Fairprice” (harga patut) dengan tujuan mengurangkan kos perbelanjaan harian ahlinya. Hari ini Fairprice sudah menjadi peruncit tersebar di negara tersebut dengan 250 buah kedai.

Di Jepun, Koperasi Kokumin Kyosai diuruskan oleh ahli-ahli kesatuan, ia mempunyai 200 kedai di seluruh Jepun untuk menyediakan insurans hayat, api, kereta, bencana alam dan rancangan pensiun kepada semua pekerja.  

Dengan kerjasama koperasi pengguna, kesatuan sekerja Jepun juga menubuhkan Bank Buruh Rokin (Rokin Labour Bank) pada tahun 1950 untuk memberi perkhidmatan simpanan dan pinjaman wang kepada pekerja. Keuntungan lebihan daripada aktiviti bank tersebut akan disalurkan kepada pekerja dalam produk atau perkhidmatan tertentu.

Di Sweden, kesatuan sekerja dianggap sebagai rakan sosial (social partner) dan diberi tanggungjawab untuk menguruskan skim insurans pengganguran. Pekerja yang mengganggur boleh membuat tuntutan bayaran penggangguran daripada kesatuan sekerjanya secara terus.

Peranan Pengawalseliaan (Regulatory)

Tambahan pula, kesatuan sekerja memain peranan penting untuk membantah dasar-dasar kerajaan atau peraturan tempat kerja yang menjejaskan kepentingan pekerja.

Kesatuan sentiasa berusaha untuk menambahbaik syarat-syarat tempat kerja dengan mengadvokasikan pembaharuan undang-undang, peraturan-peraturan kerajaan atau syarikat.

Misalnya, Gabungan Reformasi Undang-Undang Perburuhan Malaysia (LLRC) telah berkempen untuk membaharui Akta Kesatuan Sekerja 1959, Akta Perhubungan Perusahaan 1967 dan Akta Kerja 1955 sejak tahun 2018.

Undang-undang tersebut mengenakan pelbagai sekatan terhadap kebebasan berpersatuan dan tindakan perusahaan pekerja-pekerja, mengakibatkan hak-hak pekerja dicabuli dan hanya 6 peratus jumlah pekerja di Malaysia bergabung dengan kesatuan.

Semasa pandemik Covid-19 berleluasa, kesatuan sekerja di seluruh dunia mengadakan dialog sosial dengan majikan, memastikan pihak syarikat mematuhi protokol-protokol kesihatan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.

Di Myanmar, ketika majikan melanggarkan protokol kesihatan, kesatuan sekerja melaporkan pelanggaran tersebut kepada pejabat kesihatan serta-merta. Di Filipina, kesatuan memastikan majikan menyediakan peliput muka dan gel alkohol kepada semua pekerja dan memeriksa suhu badan pekerja sebelum bermula bekerja.

Secara umumnya, kesatuan menggunakan perjanjian kolektif untuk mewujudkan peraturan-peraturan yang diingini oleh pekerja-pekerja. Umpamanya fasiliti kantin, tandas, air minuman, tempat penjagaan anak, bilik penyusuan ibu, pejabat kesatuan, keselamatan dan kesihatan.

Peranan Politik

Peranan politik bermakna kesatuan sekerja menggunakan kekuatannya untuk mempengaruhi kerajaan supaya membuat sesuatu keputusan berpihak kepada kelas pekerja.

Secara amnya, dua strategi pernah dilakukan oleh kesatuan : (1) Membentuk parti politik pekerja; (2) Berlobi, berkempen atau berdemonstrasi untuk mengubah sikap kerajaan dalam dasar-dasar tertentu.

Seperti telah dijelaskan sebelum ini, kesatuan-kesatuan di British dan Swedan telah menubuhkan parti politik sendiri. Sebahagian ahli kesatuan dan parti politik tertindih, mereka memberi sumbangan kewangan kepada parti buruh untuk memperjuangkan undang-undang yang diingini oleh kesatuan dalam parlimen atau kabinet.

Di Indonesia, kesatuan-kesatuan menggunakan berbagai-bagai taktik untuk melawan Rang Undang-Undang Omnibus Cipta Kerja. Mereka melobi ahli-ahli parlimen berpihak kepada pekerja untuk menolak RUU tersebut.

Selepas kerajaan Joko Widodo meneruskan rancangannya untuk meluluskan RUU, kesatuan-kesatuan Indonesia menganjurkan beberapa demonstrasi besar-besaran dan mogok untuk membantah pembentangan RUU tersebut di parlimen.

Pada tahun 2006-2007, Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dan pertubuhan-pertubuhan masyarakat sivil melancarkan kempen membantah penswastaan bekalan air di Malaysia.

MTUC dan 13 individu telah menfailkan satu permohonan di mahkamah, mencabar keengganan Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi untuk mendedahkan perjanjian konsesi yang ditandatangani oleh Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) dan kerajaan negeri Selangor.

Walaupun isu penswastaan bekalan air tidak berkait terus dengan hak-hak dan faedah-faedah pekerja di tempat kerja, penswastaan bekalan air merupakan satu isu masyarakat yang akhirnya akan memberi kesan buruk kepada pekerja-pekerja dan keluarganya yang tinggal di negeri Selangor.

MTUC juga berdiri teguh membantah kerajaan Malaysia meratifikasi Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) kerana perjanjian perdagangan bebas akan menuju ke liberalisasi ekonomi, pekerjaaan sedia ada mungkin dihapuskan disebabkan barangan impot sudah jadi murah.


[1] NTUC, 2011, About NTUC Fairprice, viewed on 24 Jan 2021,

[2] Kokumin Kyosai co-op Annual Report, 2019, viewed on 25 Jan 2021

[3] ILO, 2017, Rokin Labour Banks: Financial cooperatives for workers in Japan, viewed on 25 Jan 2021

[4] ILO, 2006, Manual for Indonesian Trade Unions on Trade Union Administration, Jakarta : ILO, viewed on 22 May 2021