Oleh : Ng Yap Hwa
Dalam mana-mana struktur kesatuan sekerja, peringkat bawah adalah tempat kerja contohnya sebuah kilang, satu tapak pembinaan, sebuah lapangan kapal terbang, sebuah pejabat atau yang lain-lain.
Biasanya, sesebuah kesatuan industri atau federasi kesatuan akan mewujudkan jawatankuasa tempat kerja (worksite committee) atau kesatuan peringkat kilang (plant-level union) di setiap tempat kerja untuk melaksanakan tugas-tugas kesatuan.
Pemimpin jawatankuasa tempat kerja atau kesatuan peringkat kilang juga dipanggil wakil kesatuan. Dalam bahasa Inggeris wakil kesatuan dipanggil trade union representatives atau shop stewards.
Wakil-wakil kesatuan sekerja, walaupun berada di peringkat paling bawah dalam struktur sebuah kesatuan, mereka memainkan peranan yang penting kerana ia merupakan kontak langsung kesatuan dengan ahli-ahlinya.
Secara asasnya, wakil-wakil kesatuan mempunyai 9 peranan utama:
- Menyusun pekerja dalam kesatuan
- Berkomunikasi dengan ahli-ahli
- Memberi pendidikan atau latihan
- Melibatkan ahli-ahli dalam aktiviti dan kempen
- Perundingan kolektif
- Dialog sosial dengan majikan
- Mewakili pekerja dalam pertikaian
- Menjalin hubungan dengan pihak berkepentingan
- Menjaga keselamatan dan kesihatan ahli-ahli
Menyusun pekerja dalam kesatuan
Walaupun kesatuan telah ditubuhkan di sesuatu tempat kerja, wakil kesatuan mempunyai tanggungjawab penting untuk menyusun lebih ramai pekerja dalam kesatuan, paling baik mencapai 100 peratus pekerja adalah ahli kesatuan.
Jikalau wakil kesatuan bersikap senang puas hati, tidak memberikan perkhidmatan dan kepimpinan yang baik, ahli-ahlinya mungkin akan meninggalkan kesatuan atau menyertai kesatuan lain yang wujud di tempat kerja yang sama.
Penyusunan berterusan dalam sesuatu tempat kerja dipanggil “penyusunan / organisasi dalaman” (internal organising). Ia berbeza dengan “organisasi luaran” (external organising) yang merujuk kepada kegiatan menyusun pekerja-pekerja di tempat kerja lain.
Langkah pertama penyusunan dalaman ialah membuat satu pemetaan di dalam syarikat – jumlah pekerja, jumlah ahli kesatuan, jumlah ahli kesatuan lain, pekerja yang berpotensi menjadi ahli kesatuan, pekerja yang menentang kesatuan, pekerja yang langsung tidak minat kesatuan.
Pemetaan ini dibuat mengikut bahagian atau fungsi tempat kerja, misalnya bahagian pengeluaran, bahagian kawalan kualiti, bahagian bungkusan dan lain-lain
Langkah kedua ialah menganalisa kekuatan dan kelemahan pihak kesatuan dan pihak pengurusan dalam setiap bahagian. Langkah ketiga ialah membuat satu rancangan dengan strategi dan taktik yang dibincangkan bersama dengan jawatankuasa.
Langkah keempat ialah melaksanakan rancangan dengan mengagihkan kerja, mencari masa yang sesuai untuk mengadakan perbualan satu dengan satu untuk mendengar suara hati pekerja tersebut dan menerangkan kepentingan bergabung dengan kesatuan.
Selepas berjaya mendaftarkan ahli baru, wakil kesatuan harus menyerahkan maklumat ahli baru kepada ibu pejabat kesatuan. Wakil kesatuan harus juga membantu ibu pejabat untuk menguruskan perkara seperti pembayaran yuran ahli-ahli.
Jawatankuasa tempat kerja mesti mematuhi prinsip demokrasi. Ahli-ahli jawatankuasa harus dipilih oleh ahli-ahlinya dalam jangka masa yang ditetapkan dalam perlembagaan kesatuan. Sistem pemilihan akan memastikan pimpinan jawatankuasa sentiasa bertanggungjawab kepada permintaan ahli-ahli, pemimpin yang gagal menjalankan tugas akan ditolak oleh ahlinya. Inilah sebab kesatuan berbangga dengan sendiri sebab ia merupakan sebuah pertubuhan demokratik massa.
Berkomunikasi dengan ahli
Wakil kesatuan yang berkebolehan adalah seorang yang baik dalam komunikasi. Adalah penting seorang wakil kesatuan memastikan komunikasi dwi-hala di antara ibu pejabat kesatuan dan ahli-ahli di tempat kerja sentiasa dijalankan dengan baik.
Komunikasi yang lemah mungkin akan mengakibatkan perselisihan di antara ahli-ahli dengan ibu pejabat, ataupun menggagalkan perundingan kolektif atau tindakan perusahaan.

Wakil kesatuan harus memaklumkan dengan segera pertikaian di tempat kerja kepada setiausaha agung, contohnya ahli-ahli di buang kerja atau dikenakan tindakan displin secara tidak adil. Wakil kesatuan dan setiausaha agung akan membincang dan menentukan saluran rungutan yang paling baik.
Jika sesuatu kemalangan atau masalah kesihatan berlaku di tempat kerja, wakil kesatuan mesti memaklum kepada ibu pejabat. Misalnya, pekerja cedera atau maut semasa mengoperasikan mesin, atau ahli-ahli jatuh sakit kerana proses pengeluaran yang mengabaikan kesihatan pekerja-pekerja.
Wakil kesatuan harus memberitahu ibu pejabat jika majikan melakukan diskriminasi terhadap kesatuan atau ahli-ahli tertentu, memberhentikan pekerja-pekerja kerana menggunakan teknologi baru.
Dalam proses perundingan kolektif, wakil kesatuan ada tanggungjawab mengumpulkan permintaan asas ahli-ahli dan menghantar kepada ibu pejabat, mengaturkan mesyuarat dalaman dengan setiausaha agung sebelum berunding dengan majikan.
Sebaliknya, ibu pejabat kesatuan yang sentiasa menguruskan hal-ehwal kebangsaan, lebih berpengalaman dalam undang-undang perburuhan, mahkamah perusahaan dan dasar sosio-ekonomi kerajaan. Wakil kesatuan harus membantu ibu pejabat merancangkan pendidikan yang sesuai kepada ahli-ahli di tempat kerja.
Dalam pertikaian dengan majikan, sama ada rungutan individu atau pertikaian dalam perundingan kolektif, wakil kesatuan boleh meminta ibu pejabat memberi nasihat guaman dan nasihat tindakan perusahaan supaya ahli-ahli di tempat kerja memilih strategi yang paling baik untuk melawan ketidakadilan.
Kesatuan harus menentukan saluran komunikasi untuk ahli-ahli di peringkat kilang dan ahli-ahli di seluruh negara. Di Malaysia dan Indonesia, kumpulan Facebook tertutup biasa ditubuhkan untuk memudahkan komunikasi. Banyak kesatuan juga menggunakan Whatsapp dan Emel untuk berkomunikasi dengan ahli-ahlinya.
Bagaimanapun, di peringkat tempat kerja, pertemuan bersemuka adalah paling berkesan. Di negera Sweden yang mempunyai ketumpatan kesatuan yang tinggi, pegawai kesatuan IF Metall selalu menekankan wakil kesatuan harus selalu berjumpa dengan ahli-ahli dan mengunjung semua tempat kerja.
Memberi pendidikan atau latihan
Untuk memperjuangkan hak-hak pekerja, kesatuan sekerja mesti mempunyai kuasa yang cukup besar untuk menyeimbangkan kuasa majikan. Untuk mencapai kuasa yang besar, kesatuan mesti mampu memobilisasi ahli-ahlinya untuk melakukan tindakan kolektif. Untuk melakukan tindakan kolektif, ahli-ahli kesatuan mesti mempunyai persefahman tentang fungsi dan hala tuju kesatuan, kesedaran ini sangat bergantung kepada pendidikan buruh atau latihan-latihan yang diberikan secara berkala.
Wakil kesatuan mesti faham, jika pihak pengurusan sentiasa mengindotrinasikan idea-idea yang pro-majikan dan menjalin hubungan rapat dengan pekerja-pekerjan dengan menganjurkan aktiviti-aktiviti, komunikasi pengurusan akan lebih berkesan kerana kekerapannya lebih tinggi, akhirnya pekerja-pekerja mungkin lebih percaya kepada hujah-hujah pengurusan daripada wakil kesatuan.
Oleh itu, wakil kesatuan mesti selalu menyediakan pendidikan kepada ahli-ahli di tempat kerja, memberi hujah yang kritikal dan menyakinkan mereka tentang hak-hak pekerja dan peranan penting kesatuan dalam menyatupadukan semua pekerja untuk kebajikan kebajikan bersama.
Wakil kesatuan juga boleh menyediakan pendidikan tahap lebih tinggi iaitu memberi analisis politik dan ekonomi di peringkat kebangsaan atau sedunia, supaya pekerja-pekerja memahami masalah-masalah struktur sistem eknomi pasaran atau kapitalistik yang mengeksploitasi pekerja-pekerja. Dengan analisis seduania, pekerja-pekerja juga boleh memahami konflik di antara pekerja tempatan dan pekerja migran adalah akibat aliran bebas kapital pelabur-pelabur dan dasar-dasar neoliberal yang dibentukkan oleh pemerintah.
Maka, wakil kesatuan memain peranan penting untuk menyelaras dengan ibu pejabat untuk menyediakan pendidikan yang sesuai untuk ahli-ahlinya di tempat kerja, seperti asas konsep kesatuan sekerja, undang-udang buruh, bagaimana menangani pertikaian, perundingan kolektif, latihan advokasi dan lain-lain. Kelompok membaca (Study circle) juga boleh ditubuhkan di tempat kerja.
Wakil kesatuan harus juga sentiasa menambahkan ilmu sendiri untuk menyusunkan pendidikan atau latihan kepada ahli-ahlinya. Ibu pejabat harus menyediakan latihan khas untuk mendidik wakil kesatuan.
Melibatkan ahli-ahli dalam aktiviti dan kempen
Apabila ibu pejabat ingin melancarkan satu kempen kebangsaan, umpamanya reformasi undang-undang perburuhan atau hentikan keganasan terhadap perempuan, wakil kesatuan mesti memberi taklimat kepada ahli-ahli di tempat kerja, mengedarkan risalah, poster atau apa-apa jenis bahan kempen kepada ahlinya.
Selepas ahlinya telah memahami isu tersebut, wakil kesatuan boleh menggalakkan ahlinya mengambil tindakan seperti ambil gambar dengan slogan kempen dan kongsikan gambar di media sosial. Wakil kesatuan boleh juga menggalakkan ahlinya menulis surat kepada syarikat atau kedutaan negara lain untuk menunjukkan solidariti dengan pekerja negara lain.
Kempen mungkin berkait dengan diskriminasi terhadap kesatuan sekerja, apabila pemimpin kesatuan diberhentikan kerja kerana menubuhkan kesatuan atau membangkitkan isu-isu pekerja di tempat kerja.
Contohnya, ketika YTL Cement Berhad mengambil alih sebuah kilang simen di Rawang daripada Lafarge, syarikat tersebut memberi tawaran untuk memindah pekerja-pekerja tersebut ke kilang-kilang simen milikannya di negeri, jika tidak terima tawaran tersebut, mereka diminta meninggalkan kerja mereka.
Kesatuan Pekerja-Pekerja Perusahaan Simen (CIEU) dan Kongress Kesatuan Pekerja Malaysia (MTUC) meminta perundingan dengan syarikat tersebut, malangnya syarikat tersebut tidak melayan tuntutan perundingan tersebut.
Sterusnya, CIEU dan Kesatuan antarabangsaan pekerja-pekerja bangunan dan perkayuan (Building and Woodworkers’ International) melancarkan satu kempen petisyen atas talian untuk menggesa syarikat tersebut mengembalikan kerja 62 orang pekerja tersebut.
Dalam kempen jenis ini, semua pekerja-pekerja dalam kesatuan industri yang sama akan digalakkan untuk mengambil tindakan solidariti kepada 62 orang pekerja tersebut. CIEU boleh mengedarkan pautan petisyen atas talian ini kepada semua ahlinya, semua ahli boleh mengisikan petisyen ini dengan telefon bimbit atau komputer dengan masa kurang daripada 1 minit.
Dialog sosial dengan majikan
ILO menakrifkan dialog sosial sebagai “semua jenis negosiasi, perundingan atau hanya penukaran maklumat antara wakil kerajaan, majikan dan pekerja-pekerja, berhubung dengan isu-isu yang mempunyai kepentingan bersama berkait dengan dasar ekonomi dan sosial.”
Dialog sosial boleh dilakukan oleh kesatuan sekerja dengan majikan, atau antara kesatuan sekerja dengan pihak kerajaan, atau antara pihak tripartit di peringkat kebangsaan, negeri, daerah atau tempat kerja.
Konsep ini sangat penting untuk memastikan keharmonian hubungan kerja. Kalau pihak majikan dan kesatuan sekerja boleh sentiasa duduk bersama dan membincangkan masalah-masalah di tempat kerja dan menyelesaikannya secepat mungkin, ini dapat mengelakkan perselisihan daripada meningkat.
Misalnya, semasa pandemi Covid-19 melanda Myanmar, Federasi Pekerja-Pekerja Industri Myanmar (IWFM) ambil inisiatif menjemput pengusaha menyertai dialog sosial untuk melaksanakan langkah-langkah pencegahan Covid-19 di kawasan kilang. Majikan bersetuju menyediakan penutup muka, gel alkohol dan membasmi kuman di permukaan dari masa ke semasa.
Di Filipina, Setiausaha Buruh dan pegawai-pegawai Jabatan Buruh dan Pekerjaan (DOLE) menganjurkan beberapa mesyuarat atas talian dengan kesatuan-kesatuan sekerja semasa pandemi, untuk membincangkan berbagai-bagai isu seperti diskriminasi terhadap pemimpin kesatuan, keselamatan dan kesihatan di tempat kerja, dan kesamarataan gender.
Pendek kata, jika isu-isu di tempat kerja boleh diselesaikan dengan menggunakan kaedah dialog sosial secara harmoni, kesatuan sekerja tidak perlu mengambil tindakan kolektif yang lebih drastik seperti mogok atau piket.
Mewakili pekerja dalam pertikaian
Pertikaian antara majikan dan pekerja-pekerja adalah biasa di kebanyakan tempat kerja, ia mungkin berhubung dengan gaji, jam kerja, cuti, kebajikan, gangguan seksual, keselamatan atau kesihatan pekerja-pekerja.
Apabila seorang ahli kesatuan mendapat layanan tidak adil, orang pertama yang mereka akan merujuk kepada dan meminta pertolongan biasanya ialah wakil kesatuan. Mengurus dan menyelesaikan pertikaian merupakan salah satu jenis perkhidmatan kesatuan memberikan kepada ahli-ahlinya.
Jika ahli-ahli sudah dikenakan tindakan disciplin tanpa merujukkan pertikaian tersebut kepada kesatuan, ini mungkin menunjukkan komunikasi dalaman kesatuan sudah putus atau tidak berkesan. Kesatuan harus belajar daripada peristiwa tersebut dan menambahbaikkan komunikasi dalaman kesatuan.
Untuk menangani pertikaian dengan baik, wakil kesatuan mesti mempunyai pengetahuan yang cukup tentang undang-undang buruh, perjanjian kolektif yang ditandatangani oleh majikan dan kesatuan, serta dasar dan prosidur tatatertib syarikat.
Jika kes pertikaian tersebut telah dirujuk kepada mahkamah perusahaan atau mahkamah sivil, wakil kesatuan mesti bersedia sendiri untuk mewakili kepentingan ahli dalam mahkamah-mahkamah tersebut.
Sila merujuk kepada bab “menangani pertikaian” untuk memahami prinsip-prinsip dan amalan baik dalam menangani pertikaian secara terperinci.
Menjalin hubungan baik dengan pihak berkepentingan
Oleh sebab ketidakseimbangan kuasa majikan dan kesatuan sekerja, kadang-kala kesatuan perlu menggunakan leverage lain untuk mempertahankan hak-hak pekerja. Maka, wakil kesatuan harus mempunyai kemahiran interpersonal yang baik dengan pihak berkepentingan.
Perkara ini telah diketengahkan oleh ahli akademik dalam teori mobilisasi sumber (resource mobilization), bahawa gerakan sosial memerlukan dukungan luar untuk menjayakan kempennya, dan teori tersebut boleh diguna pakai di gerakan buruh atau gerakan sosial.
Dukungan luar bermakna sumber-sumber yang sudah wujud dalam masyarakat tetapi di luar kalangan pekerja, contohnya wang, tenaga kerja, masa dan media. Demikian, kesatuan boleh menggunakan struktur pertubuhan dan jalinan yang sedia ada dalam masyarakat untuk membantu kempennya, seperti persatuan penduduk, pertubuhan bukan kerajaan, institusi agama, pihak berkuasa dan lain-lain.
Kes kajian kempen keadilan untuk pembersih-pembersih (Justice for Janitors) di Los Angeles di bawah memberi satu contoh yang paling baik bagaimana kesatuan menjalin hubungan baik pihak berkepentingan dan menggunakan leverage tersebut untuk menjayakan kempen tersebut.
Sebenarnya, kesatuan sekerja di Eropah semakin menekankan peranan komuniti dalam pembangunan kesatuan. Salah satu kesatuan sekerja terbesar di British, Unite the Union, memperkenalkan jenis keahlian komuniti, maka ahli-ahli komuniti yang bukan pekerja, juga boleh menyertai kesatuan sekerja dan menikmati kebajikan ahli-ahli kesatuan.
Dengan membayar yuran bulanan £2.2 (RM12.9), ahli-ahli komuniti Unite dapat menikmati perkhidmatan seperti talian bantuan guaman 24 jam, bantuan menuntut kecederaan individu, kad cashback untuk membeli-belah, insurans kemalangan, nasihat sistem cukai dan lain-lain.
Bayangkan berapa tenaga kerja dapat dikerah daripada keahlian komuniti ini semasa Unite melancarkan satu kempen besar-besaran di satu komuniti?
Memperkenalkan keahlian komuniti adalah satu strategi yang baik untuk membentuk jalinan baik dengan komuniti di sekeliling tempat kerja. Sekiranya kerajaan Malaysia mereformasikan Akta Kesatuan Sekerja 1959 dan membenarkan kesatuan sekerja menetapkan jenis keahlian dalam perlembagaan kesatuan sendiri, kestuan di Malaysia juga dapat membuka keahlian kepada ahli-ahli komuniti.
Kajian kes : Kempen keadilan untuk pembersih di Los Angeles Pada tahun 1990, Kesatuan pekerja-pekerja perkhidmatan Antarabangsa (SEIU) di Amerika Syarikat melancarkan kempen “keadilan untuk pembersih” untuk menuntut gaji yang lebih tinggi kepada pekerja-pekerja pembersihan yang kerja di syarikat yang telah dapat kontrak pembersihan di bangunan-bangunan kommersial di Los Angeles. Pekerja-pekerja pembersihan telah menggunakan taktik militant seperti mogok dan demonstrasi untuk memaksa syarikat International Service Systems (ISS) menandatangani kontrak dengan kesatuan. SEIU juga membentuk gabungan dengan pihak berkepentingan lain untuk menjayakan kempen tersebut. Misalnya, SEIU menghubungi wakil pusat buruh Amerika Syarikat AFL-CIO yang mempunyai satu kerusi di Pihak Berkuasa Pembangunan Semula Komuniti (Community Redevelopment Authority, CRA) di Los Angeles supaya memberi tekanan kepada bangunan Century City yang menggunakan perkhidmatan pembersihan ISS. Agensi kerajaan tersebut mempunyai kuasa meluluskan atau menolakkan permohonan pembinaan bangunan baru di bandar tersebut. SEIU juga mengaturkan satu lawatan khas oleh pimpinan kesatuan sekerja Denmark ke tempat kerja pembersih, kerana syarikat ISS merupakan sebuah syarikat Denmark yang mempunyai kesatuan sekerja. SEIU memaklumkan kesulitan pembersih-pembersih kepada penyewa bangunan Century City dimana pembersih-pembersih melakukan kerja. Semasa menganjurkan demonstrasi, kesatuan tersebut sering mendapat sokongan dan penyertaan daripada dua kumpulan. Kumpulan pertama ialah komuniti Latino yang tinggal di sekeliling, kerana majoriti pekerja-pekerja pembersihan adalah migran Latino. Kumpulan kedua ialah mahasiswa-mahasiswi yang belajar di Universiti California, Los Angeles. Tambahan pula, selepas peristiwa keganasan polis terhadap pekerja-pekerja pembersihan dalam satu demonstrasi yang mencederakan peserta-peserta dan mengakibatkan seorang wanita hamil tergugur, SEIU berjaya memobilisasi Datuk Bandar Los Angeles ketika itu Tom Bradley untuk mencampur tangan dalam pertikaian ini. Akhirnya, kempen ini berjaya dengan melibatkan pihak berkepentingan yang berlainan. Dalam kempen ini, SEIU telah menggunakan leverage pihak berkuasa CRA, pusat buruh AFL-CIO, kesatuan sekerja Denmark, penyewa bangunan, komuniti Latino, mahasiswa-mahasiswi dan Datuk Bandar. Kes ini menunjukkan begitu penting bagi kesatuan sekerja untuk menjalin hubungan baik dengan semua pihak berkepentingan untuk memperjuangkan hak-hak pekerja. |
Menjaga keselamatan dan kesihatan ahli-ahli
Wakil kesatuan, khasnya dalam sektor pembuatan, pembinaan, pengangkutan, perlombongan dan kejuruteraan, mesti selalu memberi perhatian terhadap keselamatan dan kesihatan ahli-ahli kesatuan.
Walaupun pihak majikan, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKK) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) mempunyai tanggungjawab yang besar dalam menangani kejadian kemalangan atau kecederaan di tempat kerja, wakil kesatuan juga memain peranan penting sebagai “mata” dan “telinga” di tempat kerja serta memantau operasi harian yang tidak selamat dan tidak sihat.
Jikalau penyelia atau pengurus mengarahkan pekerja-pekerja menangani bahan kimia yang tidak diketahui unsurnya atau menyentuh bahan-bahan kimia yang membahayakan kesihatan tanpa peralatan perlindungan peribadi (PPE), wakil kesatuan harus segera meminta pihak pengurusan membetulkan permasalahan untuk menjaga kesihatan pekerja-pekerja.
Memandangkan kemalangan kerap berlaku di sektor pembinaan di Malaysia dan bilangan kes kematian pekerja-pekerja migran semakin bertambah, wakil kesatuan dalam sektor pembinaan boleh meminta dialog sosial dengan majikan untuk menambahbaikkan prosidur kerja.
Wakil kesatuan harus cuba menyertai jawatankuasa keselamatan dan kesihatan yang wajib ditubuhkan di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (OSHA). Sekiranya sebuah syarikat diklasifikasi sebagai sektor-sektor dalam jadual pertama OSHA dan mempunyai 40 atau lebih pekerja di tempat kerja, satu jawatankusa keselamatan dan kesihatan mesti ditubuhkan.[7]
Jadual satu OSHA 1994 (sector-sektor yang diliputi) Pembuatan, Perlombongan dan kuari, pembinaan, pertanian, perhutanan dan perikanan, elektrik, gas, air, perkhidmatan sanitari, pengangkutan, penyimpanan dan komunikasi, pemborong dan runcit, hotels dan restoran, kewangan, insurans, hartanah dan perkhidmatan perniagaan, perkhidmatan awam dan pihak kuasa berkanun. |
Menurut seksyen 30(2) OSHA, ahli-ahli jawatankuasa tersebut harus dipilih atau dilantik. Dalam panduan yang diterbitkan oleh JKKK, apabila sebuah syarikat mempunyai 100 atau kurang pekerja, 2 orang wakil harus daripada majikan dan pekerja-pekerja masing-masing. Apabila lebih daripada 100 orang pekerja, 4 orang wakil daripada majikan dan pekerja-pekerja masing-masing.[8]
Jawatankuasa tersebut dipimpin oleh seorang pengerusi dan seorang setiausaha, majiakn atau pengurus syarikat harus dijadikan pengerusi. Panduan tersebut mengatakan “adalah berguna mengadakan wakil kesatuan dalam jawatankuasa keselamatan dan kesihatan.”
Panduan tersebut mencadangkan lebih daripada satu jawatankuasa ditubuhkan jika syarikat tersebut adalah besar dan mempunyai beberapa tempat kerja atau tapak pembinaan.
Di Canada, Kesatuan Pekerja-Pekerja Makanan dan Kommersial Bersatu (UFCW Canada) mempunyai satu sistem kerja tentang keselamatan dan kesihatan di tempat kerja. Ia mencadangkan satu pemetaan kebahayaan (hazard mapping) harus dibuat oleh semua pekerja dari satu tempat kerja, tujuannya ialah mengenalpasti dan mengawal kebahayaan di sesesuatu tempat, mewujudkan persetujaan bagaimana menangani isu-isu keselamatan dan kesihatan.[9]
Selepas itu, satu analysis keselamatan kerja (job safety analysis) akan dilakukan berdasarkan jenis pekerjaan, khasnya kerja-kerja yang sering berlaku kemalangan, kecederaan, berpotensi melakukan kecederaan. Kemudian, pemeriksaan keselamtan harus dijalankan di setiap tempat yang berisiko tinggi.
UFCW Canada juga menyediakan berbagai-bagai latihan atas talian percuma tentang keselamatan dan kesihatan kepada ahli-ahlinya dan masyarakat. Contoh latihan-latihan yang disediakan ialah peranan JKKK, kebahayaan biologi, isu-isu kesihatan mental, kualiti udara dan pengalihan udara.[10]
Sentiasa ingat, Kerja-kerja keselamtan dan kesihatan yang dijalankan oleh wakil kesatuan, kemungkinan besar akan menyelamatkan nyawa atau mengelakkan kebarangkalian kecederaan di tempat kerja.