Perjuangan mogok kerja ladang Asahan

[Nota pengarang : artikel ini merupakan petikan dari “Surat terbuka dari jawatankuasa gerakan mogok kerja Asahan Estate”, muka surat 110-113, Teo Cheng Hai, 2015, Perjuangan Kaum Pekerja Ladang Asahan, Petaling Jaya : SIRD]

Perjuangan mogok kerja Asahan Estate yang telah menarik perhatian rakyat berbagai lapisan masyarakat negara kita akhirnya tercetus pada 25 Februari 1967. Ini bukannya satu kejadian yang tiba-tiba, tetapi ia mengandungi unsur-unsur subjektif dan objektif. Ia bertujuan untuk membolehkan rakyat berbagai lapisan negara kita untuk menguasai perkembangan perjuangan dan kami perlu membuat huraian tentang asal usulnya.

Unsur utama persengketan perusahaan di Asahan Estate

Asahan Estate merupakan estet terbesar milik Kumpulan Guthrie. Estet yang keluasannya lebih dari 9,000 ekar ini terletak di kawasan timur laut bandar Melaka dan berjarak lebih kurang 30 batu darinya. Sebelum ini pekerjanya pernah mencatat angka 1,000 orang tetapi sekarang ini jumlah pekerjanya sudah menurun ke tahap lebih dari 800 orang.

Antara pekerja-pekerja upahan yang semuanya bertempat di dalam kawasan estet, jumlah besar daripadanya adalah pekerja-pekerja yang mempunyai pengalaman kerja 5-20 tahun. Senasib dengan pekerja-pekerja di estet-estet  yang lain, penoreh-penoreh getah Asahan Estate mengalami penindasan dan pemerasan dari pihak majikan. Selama ini  titik peluh mereka dibalas dengan penderitaan.

Oleh itu para pekerja Asahan Estate yang bersemangat juang pernah beberapa kali melancarkan perjuangan untuk melawan penindasan dan pemerasan dari pihak majikan. Pada bulan Julai 1965, para pekerja Asahan Estate sepakat untuk menyatakan bantahan keras mereka terhadap pembuatan menukar cara menimbang susu gerah yang dilakukan oleh pihak majikan dengan mogok timbang susu getah dan mogok kerja sehari.

Tindakan para pekerja berjaya menundukkan pihak majikan. Mereka terpaksa berunding dengan wakil-wakil NUPW (Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Ladang) disaksikan pegawai Jabatan Buruh Melaka pada 29 Julai 1965. Akhirnya pihak majikan bersetuju cara timbang baru yang lebih tepat dan saksama itu digunakan semula dalam penimbangan susu getah. Walaupun hasil perjuangan amat memberangsangkan, akan tetapi NUPW dan pemimpin-pemimpin cawangannya telah mengkhianati para pekerja di bawah arahan pihak majikan.

Pada hari keesokkan, pihak majikan memungkiri janjinya, cara timbang yang asal terus digunakannya dalam penimbangan susu getah. Wakil-wakil pekerja berkali-kali menggesa pemimpin-pemimpin ibu pejabt NUPW dan cawangannya supaya mengambil tindakan untuk mendakwa perbuatan pihak majikan, akan tetapi mereka memainkan taktik untuk melanjutkan masa dengan menuntut para pekerja supaya sabar menunggu.

Selepas penantian selama 3 bulan, wakil-wakil pekerja mendapati kepentingan para pekerja telah diketepikan oleh NUPW. Pemimpin-pemimpin NUPW digesa untuk menghadiri mesyuarat pekerja akan tetapi mereka enggan hadir kerana tidak berani berhadapan dengan para pekerja. Setelah menjinakkan pemimpin-pemimpin NUPW, pihak majikan bertindak lebih lanjut untuk mengaut laba yang lebih banyak dengan melakukan pemecatan yang berancang terhadap pekerja-pekerja yang berusia ataupun pekerja-pekerja yang tidak disukainya khususnya pekerja-pekerja yang berani mengetuai perjuangan melawan penindasan dan pemerasan.

Di samping memainkan berbagai taktik untuk memecahbelahkan para pekerja, pihak majikan bertindak lebih lanjut dengan mengupah pekerja-pekerja baru untuk menggantikan pekerja-pekerja yang dibuang. Nyata sekali NUPW langsung tidak berminat berkhidmat untuk para pekerja, kepentingan para pekerja akan terus-menerus diketepikan sekiranya pertalian dengan NUPW tidak diputuskan. Oleh itu para pekerja Asahan Estate dengan tegas menarik diri dari kesatuan sekerja yang tidak berminat untuk membela kepentingan ahlinya iaitu NUPW lalu menyertai UMEWU (United Malayan Estate Workers’ Union).

Langkah UMEWU menangani persengketaan perusahaan Asahan Estate

Berikutan penyertaan secara rasmi pekerja-pekerja Asahan Estate pada bulan Julai 1966, UMEWU pun dengan segera menuntut pihak majikan Asahan Estate mengesahkan perwakilannya ke atas pekerja-pekerja Asahan Estate secara bertulis pada 9 Ogos 1966 supaya persengketaan perusahaan yang timbul dapat diselesaikan melalui perundingan. Akan tetapi pihak majikan Asahan Estate bukan saja enggan mengesahkan perwakilan UMEWU, bahkan meneruskan tindakan pemecatannya. Oleh itu UMEWU terpaksa membawa para pekerja berarak di kawasan Asahan Estate untuk menyatakan sikap mereka pada 16 November 1966.

Selepas itu UMEWU cuba berhubung dengan pihak majikan melalui berbagai saluran dan meminta pihak kerajaan campur tangan, mengharapkan persengketaan tentang pemecatan pekerja tanpa alasan diselesaikan melalui perundingan. Selain itu pihak UMEWU memimpin pekerja-pekerja yang dibuang oleh majikan untuk membuat rayuan di Jabatan Kementerian Buruh supaya masalah tersebut dapat diselesaikan melalui pengadilan mahkamah perusahaan dan bersedia melakukan tindakan berpiket dalam jangka panjang sehingga penyeleisan yang munasabah tercapai.

Pada 10 Januari 1967, pihak UMEWU telah memanjangkan permintaannya kepada Perdana Menteri Tengku Abdul Rahman secara bertulis supaya perjumpaan dengan 5 orang wakil pekerja Asahan Estate dapat diatur. Tetapi Perdana Menteri menuntut pihak kami menaruh keyakinan kepada Menteri Buruh yang menangani kes persengketaan perusahaan tersebut.

Pihak kerajaan pula menganjurkan satu mesyuarat antara 3 pihak pada 18 Januari 1967. Sebelum mesyuarat tersebut berlangsung, Menteri Buruh mengadakan pertemuan sulit dengan wakil-wakil pihak majikan. Akhirnya tiada sebarang persetujuan tercapai dalam mesyuarat tersebut kerana pihak majikan bersikap tegas.

Oleh kerana pihak majikan Asahan Estate tidak berhajat untuk mencari penyelesaian, pihak UMEWU terpaksa memimpin pekerja untuk melakukan tunjuk perasaan di ibu pejabat Kumpulan Guthrie yang terletak di Wisma Loke Yew, Kuala Lumpur pada 20 Januari 1967.

Dalam tempuh 3 bulan lebih ini, Menteri Buruh pernah menyatakan akan campur tangan untuk mencari penyelesaian, akan tetapi apa yang meragukan kami ialah ketika surat diterima dari majikan Asahan Estate yang menyatakan kesediaannya untuk menerima penyelesaian yang ditangani oleh Menteri Buruh, pada hari yang sama juga iaitu 2 Februari 1967, notis yang bertulis dari Menteri Buruh tentang cadangan UMEWU iaitu persengketaan perusahaan Asahan Estate dibawa ke mahkamah perusahaan yang tidak diluluskan telah disampaikan kepada UMEWU.

Dalam surat yang diterima UMEWU sebelum ini (selepas 18 Januari 1967), Menteri Buruh menyatakan bahawa UMEWU tidak berupaya untuk mencari penyelesaian ke atas masalah berkenaan, kini menolak cadangan yang munasabah dari UMEWU, apakah maksud Menteri Buruh dan kerajaan?

Dalam proses menangani kes ini, pihak UMEWU mendapati kerajaan tetap  berdiri di sebelah pihak majikan Asahan Estate, dan menolak cadangan yang adil dan munasabah dari UMEWU. Inilah bukti watak Menteri Buruh dan kerajaan yang anti-pekerja dan anti-rakyat, dan hanya membela kepentingan penjajah British dan Amerika Syarikat.

Di samping itu, NUPW yang mengkhianati para pekerja telah bersekongkol dengan majikan Asahan Estate dan giat melakukan gertakan untuk memecahbelahkan para pekerja. Pihak UMEWU yakin dengan bersatu hatinya para pekerja, muslihat pihak majikan dan kesatuan sekerja yang mengkhianati kaum buruh akan gagal!

Satu perjuangan kaum buruh negara kita untuk melawan Kapitalis monopoli asing

Dalam keadaan saluran perundingan telah disekat, para pekerja terpaksa menghunus senjata sakti kaum buruh iaitu mogok kerja. Perjuangan mogok kerja yang dilancarkan para pekerja Asahan Estate kali ini penting. Ia merupakan satu perjuangan kaum buruh negara kita untuk melawan penindasan dan pemerasan dari kapitalis monopoli asing. Kemenangan perjuangan mogok kerja kali ini akan memberi pukulan hebat ke atas penindasan dan pemerasan dari kapitalis monopoli asing demi mengukuhkan asas perjuangan kaum buruh di negara kita.

Harapan dari UMEWU

Oleh kerana perjuangan kali ini penting, pihak UMEWU menyeru rakyat berbagai lapis negara kita, kesatuan-kesatuan buruh dan pertubuhan-pertubuhan aliran sayap kiri supaya dengan cermat meneliti perkembangannya dan berusaha membangkitkan rakyat yang luas untuk memberi sokongan kepada perjuangan pekerja-pekerja Asahan Estate.

Hanya dengan sokongan dari rakyat negara kita (termasuk Singapura), barulah ia dapat memberi pukulan hebat kepada kapitalis monopoli asing yang merupakan pontianak yang menghisap darah sehingga mereka dihalau keluar dari negara kita.

Diedarkan oleh

UMEWU cawangan Melaka

25 Februari 1967

———————————————————————–

Baca lebih lanjut dengan membeli buku dari kedai buku Gerakbudaya, klik gambar kulit buku di bawah :