Oleh : Ng Yap Hwa & Saharuddin Adnan
Kesatuan Industri (industrial union)
Kesatuan industri merupakan sejenis kesatuan sekerja yang menyusun pekerja-pekerja dalam industri atau pekerjaan yang serupa dalam satu kesatuan merentasi kawasan geografi.
Contohnya kilang elektronik A di daerah utara, kilang elektronik B di daerah tengah dan kilang elektronik C di daerah selatan boleh bergabung untuk membentuk satu kesatuan sekerja industri elektronik.
Kekuatan kesatuan sekerja industri ialah menyatupadukan seluruh tenaga kerja dalam industri yang sama, ia memperkasakan kuasa perundingan dengan majikan. Apabila satu sekerja sekerja industri melakukan mogok atau piket, ia mampu memobilisasi anggota kesatuan di seluruh negara untuk memberi tekanan kepada majikan.
Gambar 3 : Struktur kesatuan industri, kesatuan umum dan kesatuan perusahaan
Kesatuan sekerja industri dapat mengumpulkan maklumat syarat-syarat pekerjaan di semua tempat kerja, membentuk piawai umum (general standard) gaji dan faedah kerja dalam industri. Akhirnya ia dapat mengurangkan jurang faedah-faedah pekerja antara syarikat-syarikat dalam industri yang sama.
Tambahan pula, jika pelabur menutupkan salah satu syarikat, kesatuan sekerja industri masih boleh wujud kerana ia masih mempunyai ahli-ahli di berpuluh-puluh tempat kerja.
Biasanya, kesatuan sekerja industri mempunyai beberapa kakitangan bergaji termasuk setiausaha agung dan pegawai perusahaan di ibu pejabat untuk menjalankan tugas seperti perundingan perjanjian kolektif, mewakili pekerja di mahkamah perusahaan dan memberi khidmat nasihat yang lain.
Struktur kesatuan sekerja di Jermany adalah yang paling baik untuk mencerminkan kesatuan sekerja industri :
Di Malaysia, banyak kesatuan sekerja industri telah ditubuhkan sejak 1950-an, selepas pemerintah penjajah British menghantar seorang penasihat kesatuan sekerja ke Malaya untuk memberi nasihat tentang dasar-dasar buruh di tanah jajahan ini.
Beberapa contoh kesatuan sekerja industri di Malaysia ialah Kesatuan Sekerja Industri Elektronik Wilayah Barat Semenanjung Malaysia (KSIEWBSM), Kesatuan Pekerja-Pekerja Perusahaan Makanan (KPPPM), Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Industri Peralatan Pengangkutan dan Sekutu (NUTEAIW) dan lain-lain.
Kesatuan Umum (general union)
Kesatuan umum dianggotai oleh pekerja-pekerja dari industri dan pekerjaan berlainan di suatu kawasan tertentu.
Dalam sejarah perkembangan kesatuan sekerja di Eropah dan Amerika Utara, kesatuan umum merupakan sejenis kesatuan sekerja. Di British, sebuah kesatuan semua jenis pekerjaan (union of trades) bernama “Persatuan Filantropik” (Philanthropic Society) ditubuhkan di kawasan Lancashire pada tahun 1818, mewakili pekerja-pekerja tekstil di kawasan tersebut.
Di Amerika Syarikat, Kesatria Buruh (Knight of Labor) ditubuhkan pada tahun 1869 di Philadephia, menerima semua pekerja tanpa kira jenis pekerjaan, tahap kemahiran, kaum atau jantina. Pada peringkat puncak kesatuan ini mempunyai anggota sebanyak 700,000 orang.
Pendekatan Kesatria Buruh ialah menggunakan model koperasi stor untuk mengganti sistem kapitalisme yang menjana keuntungan, mereka juga berkempen untuk kerja 8 jam sehari, pemansuhan buruh kanak-kanak, pampasan untuk kecederaan pekerjaan dan lain-lain.
Pada masa kini, kesatuan umum bukan lagi jenis kesatuan yang popular di negara-negara yang melaksanakan ekonomi pasaran. Tetapi ia masih wujud di negara-negara komunis seperti Vietnam.
Gambar dibawah menunjunkkan struktur organisasi Konfederasi Buruh Umum Vietnam (Vietnam General Confederation of Labour, VGCL), satu-satunya konfederasi buruh di negara tersebut yang mewakili 9.2 juta orang pekerja.
Federasi buruh bandar/provinsi (City/Province FOL) dan Federasi buruh daerah (FOL district) adalah kesatuan umum. Federasi buruh daerah mesti affiliasi dengan Federasi buruh provinsi, Federasi buruh provinsi akan ditubuh atau di bubarkan oleh VGCL.
Kesatuan Perusahaan (Entreprise union)
Seperti namanya, kesatuan perusahaan adalah kesatuan terdiri daripada pekerja-pekerja dalam satu perusahaan sahaja, di mana kesatuan perusahaan mewakili pekerja-pekerja berunding secara kolektif dengan majikan dan menandatangani perjanjian kolektif.
Jenis kesatuan ini biasanya dikaitkan dengan kesatuan sekerja Jepun. Lebih kurang 10 juta pekerja Jepun disusun dalam 26,000 kesatuan sekerja, kebanyakannya adalah kesatuan perusahaan.
Bagaimanapun, 75 peratus kesatuan perusahaan di Jepun pula affiliasi dengan satu kesatuan industri, seterusnya kesatuan industri affiliasi dengan Kongres Kesatuan Sekerja Jepun (Japanese Trade Union Confederation-RENGO)
Tiga gambar di bawah menunjukkan sistem perundingan perjanjian kolektif di Jepun. Semua perjanjian kolektif dirunding dan ditandatangani di peringkat perusahaan. Tetapi kesatuan-kesatuan dalam satu syarikat kumpulan (group companies) telah berpakat untuk mengadakan perbincangan dengan pengurusan di peringkat syarikat kumpulan. Konfederasi Automobil Jepun (JAW) juga mengadakan perbincangan dengan Persatuan Pembuatan Automobil Jepun (JAMA) dan lain-lain.
Banyak kesatuan perusahaan Jepun yang mempunyai status majoriti dalam perusahaan berunding dengan majikan untuk mengadakan sistem tertutup (union shop), di mana semua pekerja yang diupah mesti menjadi ahli kesatuan, tujuan dasar ini adalah untuk menjamin keselamatan kesatuan.
Di Jepun, selain daripada perundingan perjanjian kolektif antara kesatuan sekerja dan majikan, majoriti pekerja-pekerja dalam satu perusahaan berhak berunding dengan majikan dalam satu jawatankuasa konsultasi buruh-pengurusan (labour-management consultation committee).
Perjanjian kolektif masih memain peranan utama, tetapi majikan akan berunding jawatankuasa tersebut jika beliau mahu mengubah peraturan pekerjaan (work rules) seperti waktu kerja, overtime yang dilarang oleh undang-undang buruh. Dengan menandatangani perjanjian perundingan buruh-pengurusan majikan boleh mengabaikan tanggungjawab (derogate its duty) dalam undang-undang buruh.
Kebaikan kesatuan perusahaan ialah tumpuannya lebih kepada ahli-ahli dalam satu perusahaan, sepatutnya ia akan lebih responsif kepada permintaan atau masalah-masalah yang dihadapi oleh ahlinya kerana lebih dekat dengan ahlinya.
Keburukan kesatuan perusahaan ialah ia sentiasa menghadapi tekanan daripada majikan dan kekurangan solidariti pekerja-pekerja dalam industri yang sama, maka perjuangannya lebih senang dikalahkan kerana kekurangan kekuatan. Kesatuan perusahaan akan hilang terus jikalau perusahaan tersebut tutup.
Rujukan :
- DGB, 2020, DGB-Member Union, viewed on 30 Nov 2020
- Mintz, S., & McNeil, S. (2018), The Origins of American Trade Unionim, Digital History, viewed on 30 Nov 2020
- ILO, n.d., Chater of Vietnam Trade Unions, viewed on 30 Nov 2020
- JAW, n.d., Organization of the Confederation of Japan Automobile Workers’ Unions, viewed on 30 Nov 2020
- Duong Xuan Hieu, 2016, Vietnam Country Report by Vietnam General Confederation of Labour, viewed on 30 Nov 2020